Pengumuman hari raya Isnin, orang ramai serbu kedai ayam, santan
Mohd Zalani Md Atan
Mei 1, 2022 07:15 MYT
Mei 1, 2022 07:15 MYT
JERANTUT: Pengumuman sambutan Hari Raya Aidil Fitri pada 2 Mei mengakibatkan orang ramai melakukan pembelian saat terakhir dengan menyerbu beberapa premis di sekitar bandar ini untuk mendapatkan bekalan penting, malam tadi.
Antaranya, pasar ayam berdekatan Pasar Besar Jerantut turut diserbu orang ramai untuk mendapatkan bekalan sejurus mengetahui pengumuman hari raya diumumkan melalui media elektronik dan media sosial.
Selain itu, kedai menjual santan turut diserbu kerana bahan tersebut penting dalam masakan seperti rendang dan kari.
Seorang penduduk Taman Inderapura, Rahmat Mohd Yusof berkata, ketika dia berada di surau untuk solat Isyak dan seterusnya solat terawih kira-kira jam 8.30 malam semalam, pengumuan itu mengejutkan kerana tidak menjangka berlaku perubahan tahun ini.
“Saya dimaklumkan oleh ahli keluarga melalui media sosial pengumuman hari raya jatuh pada 2 Mei dan mengejutkan saya dan orang ramai.
“Selepas solat Isyak dan takbir raya, saya terus ke pasar ayam untuk mendapatkan bekalan, saya sangat terkejut sudah ramai pembeli beratur kerana mereka dimaklumkan melalui media sosial pasar ayam dibuka malam tadi mulai 9.30 malam," katanya.
Menurutnya, kira-kira 500 orang beratur dengan tertib untuk medapatkan bekalan.
Seorang pembeli, Khatijah Mohd Said berkata, pada mulanya dia merancang untuk mendapatkan bekalan ayam tambahan pada Isnin tetapi mengetahui hari raya jatuh pada hari ini 2 Mei.
“Saya juga terkejut mendapati di pasar sudah ramai pembeli beratur menunggu, terima kasih juga kepada penjual ayam yang bertanggung jawab memenuhi permintaan orang ramai dan sanggup membuka kedai ayam, peranan media sosial juga berkesan menyampaikan maklumat,” katanya.
Penjual ayam, Rusdhi Umar berkata, dia turut terkejut dengan pengumuman itu dan serta merta membuka kedai ayam bersama 3 kedai ayam yang lain.
“Tidak sangka hari raya pada tahun ini berubah tarikh, mujur bekalan ayam sampai pada jam 10.00 malam kira-kira 1,000 ekor bagi memenuhi permintaan dan bekalan mencukupi,” katanya.