Pengumuman dividen KWSP: Apa lagi episod hitam selepas ini? - Hishammuddin
Astro Awani
Februari 22, 2020 20:18 MYT
Februari 22, 2020 20:18 MYT
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini melahirkan rasa bimbang dengan pengumuman dividen 2019 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumum pada Sabtu.
Ahli Parlimen Sembrong itu turut tertanya-tanya apakah lagi episod hitam selepas pengumuman hibah Tabung Haji dan dividen Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terendah dalam sejarah sebelum ini.
"Saya langsung tak terkejut - mereka boleh reka pelbagai alasan untuk tutup kelemahan, namun hakikatnya, inilah padahnya bila negara diterajui Pakatan Harapan yang lebih rakus bersandiwara politik, bergaduh tentang kepimpinan seterusnya dan bertelagah sesama sendiri berbanding memikirkan kepentingan negara.
"Baru-baru ini Bank Negara umum pertumbuhan ekonomi negara terburuk dalam tempoh sedekad.
"Empat hari lepas aset Tabung Haji umum dijual. Yang saya sebut ini hanya sebahagian dan kesemuanya berlaku dalam tempoh tak sampai dua tahun Pakatan Harapan (PH) memerintah!" tegasnya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya.
Terdahulu, KWSP mengumumkan dividen 5.45 peratus bagi Simpanan Konvensional melibatkan agihan RM41.68 bilion.
Manakala bagi Simpanan Shariah 2019, KWSP mengumumkan dividen 5 peratus melibatkan agihan RM4.14 bilion.
Angka itu sedikit rendah berbanding 6.15 peratus dividen Simpanan Konvensional dan 5.9 peratus Simpanan Shariah pada 2018.
Dalam pada itu jelas Hishammuddin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng seolah-olah bertindak tidak bersalah dalam bab kemunduran ekonomi, ketidakyakinan pelabur dan kelemahan pengurusan kewangan negara.
Namun katanya, Guan Eng bertindak sebaliknya dan mahu menjadi juara dalam isu mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendesak polis membebaskan suspek pengganas.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias menjelaskan, majoriti pelaburan Simpanan Shariah adalah dalam pasaran domestik yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan pada 2019.
Jumlah aset keseluruhan KWSP meningkat kepada RM924.75 bilion di samping merekodkan pertumbuhan ahli sebanyak 2.8 peratus kepada 14.6 juta ahli, manakala jumlah majikan yang berdaftar pula bertambah 3.0 peratus kepada 522,300 majikan.
Pada tahun yang sama, KWSP mencatatkan peningkatan sebanyak 24.6 peratus bagi pelanggan i-Akaun kepada 7.6 juta pelanggan.