Pengumpulan data Sistem Pangkalan Data Perumahan Bersepadu capai 50 peratus - Zuraida

Isabelle Leong
September 15, 2020 13:32 MYT
Zuraida menerima cenderamata penghargaan dari Yeoh selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan 2020 di sini hari ini. Facebook Zuraida Kamaruddin
Pengumpulan data Sistem Pangkalan Data Perumahan (HIDS) yang dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini sudah mencapai 50 peratus, kata Zuraida Kamaruddin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, kementeriannya kini dalam proses mengumpul maklumat berkaitan perumahan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, kerajaan pusat, sektor swasta dan agensi badan bukan kerajaan (NGO).
“Kami sudah mengumpulkan data untuk membuat satu pelan atau membina satu sistem bagi membolehkan pihak pemaju, KPKT dan pembeli mendapatkan gambaran lebih jelas berkenaan perumahan di negara ini.
“Bagi pemaju rumah, ia memberikan maklumat kepada mereka dari segi jenis rumah yang patut dibina, harga yang ditetapkan dan sasaran masyarakat.
“Pembeli pula boleh melihat rumah mana yang sesuai untuk mereka, lokasi dan juga harga rumah yang lebih mampu milik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah Kebangsaan 2020 di Hotel Ritz-Carlton, di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden Kingsley Strategic Institute for Asia Pasific (KSI), Tan Sri Dr Michael Yeoh.
Beliau menjangkakan HIDS yang menggunakan khidmat pakar konsultasi itu akan siap pada tahun hadapan.
“Data yang kami ada sebelum ini tidak lengkap dan bukannya maklumat yang terkini.
“Jadi, pengumpulan data ini akan selesai dalam masa setahun dan seterusnya kami akan mula membina sistem tersebut,” jelasnya.
Mengulas mengenai skim pinjaman perumahan bersasar khususnya bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40), Zuraida berkata perkara tersebut akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Katanya, kementeriannya sedang mengusahakan skim berkenaan bagi memastikan ia dapat dinikmati golongan sasar.
Beliau berkata skim yang bakal diperkenalkan itu mempunyai garis panduan untuk memudahkan pihak bank meluluskan pinjaman perumahan.
Ia sekali gus membolehkan golongan B40 dan M40 untuk memiliki rumah.
#B40 #golongan sasar #HIDS #kerajaan #KPKT #M40 #pemaju #pembeli #pendapatan rendah #pendapatan sederhana #pinjaman #RMK12 #rumah #Zuraida Kamaruddin
;