Pengumpulan data, pemeriksaan maklumat pastikan BPR Fasa 2 sampai ke golongan sasar - Tengku Zafrul

Astro Awani
Mei 6, 2021 18:39 MYT
Tengku Zafrul berkata BPR adalah usaha berterusan membantu kelangsungan hidup rakyat, terutama golongan rentan dan mereka yang mudah terjejas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memastikan Fasa 2 Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sampai kepada golongan sasaran, antaranya melalui pengumpulan data dan pemeriksaan maklumat berterusan.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, BPR adalah usaha berterusan membantu kelangsungan hidup rakyat, terutama golongan rentan dan mudah terjejas, pekerja atau mereka yang bekerja sendiri, bergantung kepada upah serta hasil pendapatan harian.
"Dengan adanya data yang lebih terperinci serta semakan silang ke atas maklumat antara agensi-agensi pelaksana inisiatif-inisiatif kerajaan, sukacita dimaklumkan bahawa pelancaran Fasa 2 telah pun diumumkan dua hari lalu, pada hari Selasa, 4 Mei.
"Bagi Fasa 2, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.75 bilion yang akan memanfaatkan 8.4 juta penerima.
"Untuk Fasa 2 ini, pembayaran kepada penerima adalah di antara RM150 hingga RM600," katanya dalam Laporan Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-52, hari ini.
Jelas Tengku Zafrul, Fasa 1 BPR telah selesai dibayar bermula 24 Februari sehingga 1 April lalu membabitkan peruntukan berjumlah RM1.93 bilion, dan 8.4 juta penerima manfaat.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan bagi bayaran BPR setakat tahun ini adalah sebanyak RM4.68 bilion.
Sementara itu, mengenai skim pengeluaran i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, Tengku Zafrul berkata sehingga 16 April lalu, jumlah pengeluaran kumulatif adalah sebanyak RM19.6 bilion membabitkan 5.26 juta penerima.
Beliau berkata, program kedua di bawah KWSP, i-Sinar pula, pengeluaran sebanyak RM55.9 bilion diluluskan membabitkan seramai 6.29 juta pemohon sehingga 16 April 2021.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM40.4 bilion sudah pun dikreditkan.
"Namun, semua orang perlu merancang persaraan kerana ia adalah penting.
"Orang ramai disyorkan untuk menggunakan Khidmat Nasihat Persaraan (RRAS) yang disediakan oleh KWSP secara percuma untuk tujuan ini," ujarnya lagi.
#EPF #KWSP #i-sinar #BPR #Tengku Zafrul #Bayaran Fasa 2 BPR #vaksinasi #COVID-19 #PKP #ekonomi #bantuan prihatin rakyat
;