Pengukuhan ringgit bukti Kerajaan MADANI ubah persepsi dunia terhadap asas ekonomi negara - Fahmi
Bernama
September 20, 2024 15:47 MYT
September 20, 2024 15:47 MYT
PUTRAJAYA: Pengukuhan ringgit membuktikan Kerajaan MADANI telah berupaya mengubah persepsi dunia dalam tempoh yang singkat terhadap asas ekonomi negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata setakat 10.20 pagi ini ringgit telah mencecah RM4.19 berbanding dolar AS dan telahpun melepasi RM4.50, paras yang diunjurkan sebelum ini bagi penghujung tahun ini.
Menurut Fahmi, pelancaran tiga kerangka penting pada 2023 iaitu Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menyaksikan negara mencatatkan perubahan mendadak dalam tempoh yang singkat.
"Ini membuktikan Kerajaan MADANI dalam tempoh yang singkat berupaya untuk mengubah persepsi dunia terhadap asas ekonomi kita setelah kita meluncurkan kerangka Ekonomi MADANI, NIMP 2030 dan NETR.
"Kerajaan MADANI dalam tempoh dua tahun berjaya meletakkan Malaysia di landasan yang betul dan saksikan antara lain ringgit (berada) di paras kukuh iaitu RM4.19 berbanding dolar AS," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata antara pencapaian lain termasuklah peningkatan nilai perdagangan dan pelaburan dan pertumbuhan kukuh sektor semikonduktor negara dengan Malaysia disasarkan menjadi antara pusat penghasilan semikonduktor terpenting di rantau ini.
Selain itu, katanya, defisit menguncup, inflasi kekal pada dua peratus, peningkatan jumlah pekerjaan dan pengangguran yang kekal rendah juga membuktikan Malaysia berada di landasan yang betul.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga di Parlimen pada Julai lepas mengumumkan jumlah hutang baharu negara telah berkurangan.
Bagaimanapun, Fahmi mengingatkan agar tidak cepat berpuas hati dengan kejayaan itu kerana masih terdapat banyak cabaran luar seperti keadaan di Timur Tengah yang membimbangkan termasuk situasi di Palestin dan Lubnan yang masih bergolak.
-- BERNAMA