Pengubahan wang haram: Shafee Abdullah dibenar ikat jamin RM1 juta

Astro Awani
September 13, 2018 05:34 MYT
Abdullah ketika tiba di Mahkamah Kuala Lumpur bagi menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. - Foto BERNAMA
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah diikat jamin RM1 juta dengan jumlah jaminan RM500,000 dibayar hari ini manakala bakinya pada Selasa depan (18 September).
Selain itu, Muhammad Shafee turut diperintah menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah juga telah menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Shafee yang merupakan peguam Datuk Seri Najib Razak telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini atas empat pertuduhan pengubahan wang haram.
BACA: Pengubahan wang haram: Shafee Abdullah dijangka didakwa pagi ini
Menurut sumber, beliau telah ditahan di sekitar Kuala Lumpur, awal pagi ini.
“Beliau didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Sebelum ini, Shafee didakwa menerima bayaran sebanyak RM9.5 juta dari bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak. pada tahun 2013 dan 2014.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi Astro AWANI, mengesahkan tentang tangkapan tersebut.
Muhammad Shafee bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua empat pertuduhan tersebut.
#diikat jamin #Mahkamah Sesyen #Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur #Muhammad Shafee Abdullah #Najib Razak #peguam #pengubahan wang haram