Pengubahan wang haram: Bekas CEO syarikat penyiaran pula ditahan
Astro Awani
Januari 16, 2025 15:26 MYT
Januari 16, 2025 15:26 MYT
KUCHING: Kes pengubahan wang haram membabitkan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penyiaran di Sarawak memasuki episod baharu apabila seorang bekas CEO syarikat berkenaan turut ditahan reman pagi Khamis.
Individu terbabit, yang juga pernah berperanan sebagai Pengarah Eksekutif, direman dua hari selepas permohonan polis diluluskan oleh Majistret Jaro Lenya Barayan.
Turut direman dua hari ialah seorang wanita, Pengarah Urusan sebuah syarikat perunding alam sekitar yang berpangkalan di Kuching.
Bekas CEO syarikat penyiaran itu diwakili peguam Roger Chin, manakala peguam Datuk Shankar Ram Asnani mewakili wanita berkenaan.
Kedua-dua individu terbabit sebelum ini ditahan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Bukit Aman menerusi Op Ragada selepas menerima maklumat risikan kewangan Suspicious Transaction Report (STR) berhubung transaksi meragukan beberapa akaun bank dari 2017 hingga September 2024.
Menurut Roger, anak guamnya akan diterbangkan ke Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, Seksyen 409, 420 dan 403 Kanun Keseksaan serta Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Difahamkan, kesemua suspek yang ditahan reman sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis.