Penguatkuasaan undang-undang secara intensif lonjak kedudukan Malaysia dalam laporan TIP

Bernama
Jun 28, 2024 04:15 MYT
MOHD EFFENDY: Walaupun dengan penambahbaikan ini, Malaysia perlu terus berusaha untuk mengekalkan dan meningkatkan kedudukannya dengan menangani punca pemerdagangan manusia dengan lebih baik. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Peningkatan Malaysia ke Tahap 2 dalam laporan tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) boleh dikaitkan dengan penguatkuasaan undang-undang yang diperhebatkan dan langkah-langkah perlindungan mangsa yang lebih baik, kata Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Effendy Abdul Ghani.
Mohd Effendy menyatakan bahawa Jabatan Negara AS menilai negara-negara berdasarkan pematuhan mereka kepada kriteria ketat yang digariskan dalam Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan (TVPA).
"Kriteria ini termasuk larangan pemerdagangan manusia, pendakwaan terhadap pesalah dan sokongan menyeluruh untuk mangsa.
"Peningkatan Malaysia ke Tahap 2 mencerminkan komitmen kita yang kukuh dengan langkah-langkah proaktif," katanya semasa hadir sebagai tetamu pada program Bernama World bertajuk "Malaysia's Advancement in the 2024 Trafficking in Person Report" di Wisma Bernama di sini semalam.
Mohd Effendy menyatakan pengukuhan keupayaan penguatkuasaan undang-undang dan pelaksanaan langkah-langkah yang dipertingkatkan dalam melindungi dan menyokong mangsa merupakan pencapaian utama yang menyumbang kepada pengiktirafan ini.
"Pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (NAPTIP 3.0) memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan Malaysia. Tambahan pula, kerjasama dan penglibatan Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya dengan Amerika Syarikat, memainkan peranan penting," tambah beliau.
Mohd Effendy seterusnya menegaskan bahawa walaupun mencapai peningkatan ini, adalah penting bagi Malaysia untuk mengekalkan usaha tersebut.
"Walaupun dengan penambahbaikan ini, Malaysia perlu terus berusaha untuk mengekalkan dan meningkatkan kedudukannya dengan menangani punca pemerdagangan manusia dengan lebih baik," katanya.
Setiap tahun, Laporan TIP menilai trend pemerdagangan global, memfokuskan pada usaha kerajaan dalam pendakwaan, perlindungan dan pencegahan, mengkategorikan negara-negara kepada Tahap 1, 2, 2 (senarai pantau) dan 3 berdasarkan prestasi mereka.
Peningkatan itu menempatkan Malaysia dalam kumpulan negara seperti Bangladesh, Mesir, Indonesia, India, Jepun, Itali, Kenya, Mexico, New Zealand, Norway, Portugal, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.
-- BERNAMA
#pemerdagangan manusia #Jabatan Negara Amerika Syarikat #Mohd Effendy Abdul Ghani #Laporan TIP
;