Penguatkuasaan SOP perlu ada penyelarasan supaya tidak bertindan - EAC
Astro Awani
Ogos 10, 2021 08:21 MYT
Ogos 10, 2021 08:21 MYT
KUALA LUMPUR: Selain penetapan prosedur operasi standard (SOP) terhadap sektor-sektor yang dibenarkan dibuka di bawah Pelan Pemulihan Negara, gerak kerja penguatkuasaan perlu ada penyelarasan.
Ia perlu, kata Pengarah Eksekutif, Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, supaya tidak berlaku pertindanan dalam tindakan.
"Penyelarasan melibatkan pelbagai agensi. Kita ada imigresen, kita ada PBT (pihak berkuasa tempatan), kita ada MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), kita ada PDRM (Polis Diraja Malaysia).
"Industri memaklumkan, sekiranya pemantauan ini tidak diselaraskan, maka kita akan dapat pertindihan," katanya dalam program Bual Bicara Agenda AWANI pada Isnin.
"Sesetengah mereka (industri) memberitahu saya, dalam satu hari, ada dua tiga lawatan. Jadi, kerja dia menerima penguatkuasaan sahaja.
"Dan kadang-kadang, terjemahan takrifan itu juga berbeza-beza. Jadi, ia (penyelarasan) penting," tambahnya.
Noor Azlan berkata, perkara berhubung penyelarasan penguatkuasaan SOP tersebut telah disampaikan kepada pihak berkenaan.
"Dalam konteks ini, maklumat ini telahpun diangkat.
"Pihak kerajaan akan menyelaraskan dan memastikan SOP ini viable, realistik, dan pemantauan dapat dibuat dengan lebih kemas dan teratur," katanya.
TAMAT
#Noor Azlan Ghazali
#SOP
#MITI
#ekonomi
#penguatkuasaan
#pertindanan
#pertindihan
#penyelarasan
#Pelan Pemulihan Negara
#Majlis Tindakan Ekonomi
#EAC
#takrifan