Penguatkuasaan SOP lengkap dua dos vaksin bagi restoran, pasaraya bukan hukuman

Eleanor Michelle Patrick
Ogos 13, 2021 22:26 MYT
Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) lengkap dos vaksin dan berisiko rendah bagi restoran serta pasaraya bukan bertujuan untuk mengenakan hukuman atau penalti.
KOTA KINABALU: Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) lengkap dos vaksin dan berisiko rendah bagi restoran serta pasaraya bukan bertujuan untuk mengenakan hukuman atau penalti.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata sebaliknya ia dilakukan untuk mendidik dan sebagai peringatan.
"Kita juga sedia maklum bahawa ada di antara mereka dalam sektor ini belum menerima vaksin atau belum lengkap divaksin.
"Adalah dinasihatkan agar mereka yg belum divaksin segera mendapatkan vaksin dimana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, bagi pekerja-pekerja pasaraya, restoran dan hotel di sekitar daerah Kota Kinabalu, mereka boleh datang ke PPV Sabah International Convention Centre (SICC) untuk tujuan mendapatkan vaksinasi.
"Kita berharap semua yang terlibat dalam sektor ini akan memperolehi vaksin lengkap dalam masa satu bulan.
"Penguatkuasaan kepada pematuhan SOP akan dilaksanakan sepenuhnya selepas itu," katanya.
Masidi yang juga jurucakap COVID-19 bagi negeri ini berkata ia merupakan langkah yang perlu apabila mengambil kira situasi semasa di negeri ini yang mencatatkan kes yg tinggi setiap hari.
Jelasnya,Ia bertujuan bagi mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat dalam ruang niaga, sekaligus memberi manfaat dan jaminan kesihatan bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga pelanggan.
Hari ini 1,654 kes positif COVID-19 dilaporkan di Sabah.
#dine-in #Sabah #Masidi Manjun #lengkap vaksin #SOP #pematuhan SOP
;