Penguatkuasaan, pelaksanaan Akta 446 tidak akan ditangguh - Awang Hashim
Abd Hadi Che Awang
Februari 26, 2021 17:11 MYT
Februari 26, 2021 17:11 MYT
KULIM: Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia mengambil keputusan untuk tidak menangguhkan penguatkuasaan pindaan terbaharu Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, ia sebagai langkah yang paling baik dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi pada kadar maksimum dan tidak berlaku sebarang penularan COVDI-19 melibatkan tempat kerja.
Beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan akan diteruskan seperti biasa tanpa sebarang pengecualian ke atas mana-mana pihak dan para majikan digesa untuk mematuhi semua peruntukan Akta 446 serta peraturan-peraturan di bawahnya.
"Ordinan (darurat) memang dilakukan akibat berlakunya COVID-19, jadi memang semua terkesan dari segi kewangan.
"Jadi kalau sektor construction (pembinaan) minta (tangguh) kerana terkesan, kita rasa kita tak boleh pertimbangankan lagi buat masa sekarang. Kita akan teruskan perbincangan, tunggu (tetapi) masa sekarang ini selagi tidak ada (sebarang perubahan), kita teruskan akta 446.
"Dalam keadaan sekarang, saya mohon semua pihak beri kerjasama... semua sektor juga beri kerjasama untuk kita laksanakan," katanya kepada pemberita, di sini.
Awang berkata demikian ketika sidang media selepas Operasi Bersepadu Khas Penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 di beberapa buah kilang dan kediaman pekerja di Kulim pada Jumaat.
Pada Khamis, pemain industri pembinaan meminta kerajaan menangguhkan selama setahun penguatkuasaan pindaan terbaharu Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Dalam satu kenyataan bersama yang dibuat, Master Builders Association Malaysia dan lima persatuan kontraktor lain berkata mereka memerlukan masa untuk mematuhi pindaan tersebut disebabkan kekangan kewangan akibat peningkatan kos pembinaan selain pertambahan kos pematuhan prosedur operasi standard COVID-19.
Menurut kenyataan itu, penguatkuasaan Akta 446 yang melibatkan pelbagai agensi tersebut juga boleh menimbulkan masalah lain kepada kontraktor kerana ada kemungkinan berlaku salah tafsiran terhadap peruntukan undang-undang berkenaan disebabkan kurang pemahaman dalam kalangan penguatkuasa.
#Akta 446
#Industri Pembinaan
#sektor pembinaan
#construction
#Kontraktor
#tangguh
#Kementerian Sumber Manusia
#Awang Hashim