Penguatkuasaan OMO langkah perkasa dasar minyak dan gas Sarawak

Nuzuluddin Abdul Razak
November 13, 2020 18:49 MYT
Abang Johari berkata, ordinan tersebut memberi impak kepada perkembangan mapan, yang dikawal selia untuk mewujudkan industri minyak dan gas yang mesra-perniagaan. - Ihsan Japen Sarawak
KUCHING: Penguatkuasaan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958) Perlembagaan Sarawak akan terus memperkasakan dasar minyak dan gas di negeri itu.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ordinan tersebut memberi impak kepada perkembangan mapan, yang dikawal selia untuk mewujudkan industri minyak dan gas yang mesra-perniagaan.
“Walaupun telah ada upaya penjelajahan yang signifikan sejak tahun 1980-an oleh pelbagai syarikat minyak dan gas antarabangsa di darat, hasilnya sangat sederhana.
“Walaubagaimanapun, melalui pendekatan yang terfokus termasuk penerapan teknologi baru, kerajaan negeri tetap berharap dapat menemukan rizab komersial di darat yang lebih baik untuk pembangunan ekonomi negeri,” jelasnya ketika ucapan penggulungan Belanjawan Sarawak 2021 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.
Jelas Abang Johari, pelaksanaan ordinan itu adalah percubaan buat Sarawak dalam usaha untuk mengawal sepenuhnya eksplorasi dan penghasilan petroleum negeri.
Komitmen itu juga katanya digambarkan melalui pajakan perlombongan kepada Petroleum Sarawak Berhad (Petros) oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berkaitan pengurusan gas domestik.
“Pajakan perlombongan diserahkan kepada PETROS melalui dua blok, masing-masing di Adong Kechil Barat, Miri dan daerah Engkabang di selatan Marudi,” katanya.
Selain itu tegas beliau, Ordinan Pengedaran Gas, 2016, juga akan terus memperkuat peranan PETROS menerajui keterlibatan negeri itu dalam industri minyak dan gas terutama di sektor hiliran.
“Dengan hak ini, Sarawak berupaya untuk mengukuhkan bekalan gas asli yang diperlukan untuk menerajui agenda pembangunan sosio-ekonomi dalam negeri,” ujarnya.
#Ordinan Perlombongan Minyak 1958 #Perlembagaan Sarawak #dasar minyak dan gas #Abang Johari Tun Openg #DUN Sarawak #petroleum negeri
;