Penguatkuasaan ketat undang-undang kecil bangunan seragam untuk OKU perlu dilaksana
Bernama
Disember 24, 2015 16:09 MYT
Disember 24, 2015 16:09 MYT
Semua pihak diseru memenuhi penguatkuasaan ketat undang-undang kecil serta peraturan amalan kemudahan bagi orang kelainan upaya (OKU) di bangunan awam di negara ini.
Presiden Rumah Amal Cheshire Sarawak Datuk Seri Ang Lai Soon berkata kerajaan perlu menaik taraf bangunan sedia ada bagi mematuhi peraturan serta undang-undang berkaitan untuk kemudahan golongan OKU.
"Undang-undang kecil ini perlu diwajibkan di semua bangunan memudahkan orang awam mempunyai akses seperti kemudahan tempat letak kereta yang dekat, tanjakan, lif, tandas serta pelbagai kemudahan lain yang turut dikongsi golongan OKU.
"Malangnya, melalui pemerhatian mendapati undang-undang kecil ini tidak dikuatkuasakan secara serius," katanya dalam kenyataan di sini.
Ang Lai berkata kawasan sekitar bandar termasuk bangunan kerajaan, bangunan awam termasuk kemudahan asas dan perkhidmatan bas tidak memenuhi kehendak golongan OKU terutama mereka yang menggunakan kerusi roda.
Katanya keadaan seumpama itu mengakibatkan golongan OKU tidak dapat menyertai pelbagai aktivit sosial, rekreasi, ekonomi serta pelbagai aktiviti kemasyarakata lain.
"Keadaan ini sama sekali tidak boleh diterima," katanya dan menambah situasi ini adalah tidak adil kepada golongan OKU.