Penguatkuasaan berkesan, jumlah jenayah di Pasar Seni dikurangkan
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 9, 2014 20:22 MYT
Disember 9, 2014 20:22 MYT
Maklum balas orang ramai berhubung kejadian jenayah di sekitar ibu negara akan dapat meningkatkan penguatkuasaan berkesan oleh pihak polis.
Kerjasama erat antara komuniti setempat itu nanti akan menjamin nama baik negara terutamanya di kawasan tarikan pelancong.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata kawasan tumpuan pelancong seperti Pasar Seni, Masjid India, Jalan Petaling dan lainnya banyak merekodkan kejadian samun dan ragut.
Hasil pemantauan dan pembanterasan polis dengan dibantu agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia, Pertahanan Awam, Rela dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjaya mengurangkan kejadian seumpama berulang terutamanya di kawasan tarikan pelancong.
“Di kawasan Central Market ni, banyak kejadian jenayah yang berlaku disini tertumpu kepada kes samun dan ragut. Dengan usaha-usaha kita dalam menjalankan operasi dan usaha program pencegahan, maka kedaan jenayah ini dapatlah kita kurangkan sedikit,” kata Zainol kepada para wartawan semasa program walkabout beliau di Pasar Seni, hari ini.
Untuk tempoh sebulan lalu, 15 kes jenayah samun dan ragut direkodkan di Pasar Seni dan kadar itu menurun dari sebelumnya dengan penempatan 17 kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan tarikan pelancongan itu.
Orang awam diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengambil mudah soal keselamatan mereka dengan melaporkan segera sebarang kejadian jenayah kepada polis.
Sementara itu, peniaga yang ditemui di Pasar Seni melahirkan pandangan yang pelbagai.
Kehadiran pihak berkuasa dari pelbagai agensi di sana meyakinkan peniaga dengan keselamatan di kawasan tersebut yang sebelum ini sering berlaku kecurian.
“Selamat, sebab 24 jam ada polis dan sekuriti yang sentiasa membuat rondaan. Walaupun saya letak ‘cashier’ saya di sini, saya tetap rasa selamat sebab ada mereka,” kata seorang peniaga, Bashir Ahmad, yang sudah hampir tiga dekad berniaga di situ.
Temubual bersama peniaga Bashir Ahmad
Dalam pada itu, beliau juga berpendapat ada dalam kalangan orang ramai melemparkan persepsi yang salah dengan mengatakan harga jualan di kawasan tarikan pelancongan itu adalah tinggi.
“Ramai yang merungut katakan barang disini mahal, sebenarnya tidak, kita ada banyak persaingan antara peniaga dan ini membuatkan barang-barang2 di sini setanding ataupun lebih murah dari tempat lain,” kata Bashir.
Sebagai orang lama di Pasar Seni ini, beliau berasa keselamatan disini lebih terjamin berbanding 28 tahun lalu ketika dia mula berniaga.