Penguat kuasa MBPP guna kamera badan tingkat ketelusan, keselamatan

Bernama
September 11, 2024 19:03 MYT
Inisiatif itu sebahagian daripada langkah MBPP untuk tingkatkan profesionalisme dan membina kepercayaan orang ramai terhadap pegawai mereka. - Foto: Majlis Bandaraya Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperkenalkan penggunaan kamera badan bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan keselamatan pegawai penguat kuasa di lapangan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada langkah berterusan pihak MBPP untuk meningkatkan profesionalisme dan membina kepercayaan orang ramai terhadap pegawai mereka semasa menjalankan tugas penguatkuasaan.
"Kamera badan mempunyai beberapa fungsi untuk pegawai penguat kuasa kami, seperti mengekalkan integriti dan ketelusan apabila rakaman itu berfungsi sebagai bukti yang boleh disahkan bagi menyokong tindakan pegawai semasa tugas penguatkuasaan.
"Selain itu ia juga boleh membantu melindungi pegawai penguat kuasa dan orang awam daripada sebarang salah faham atau persepsi negatif yang membawa kepada konflik, dan rakaman ini juga boleh digunakan sebagai bukti yang sah untuk sebarang siasatan atau prosiding undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
H'ng berkata Jabatan Penguatkuasaan MBPP telah melaksanakan fasa pertama projek perintis ini dengan membeli 15 unit kamera badan sekitar Oktober 2023 melibatkan Warden Trafik selain membeli 50 unit lagi untuk digunakan oleh unit pengapit dan tunda pada Mei lalu.
Beliau berkata MBPP merancang untuk menambah 50 unit lagi kamera badan itu, dan inisiatif ini akan terus diperluas secara berperingkat, melibatkan semua pegawai penguat kuasa semasa menjalankan tugas pada masa hadapan.
-- BERNAMA
#kamera badan #penguat kuasa #MBPP #kepercayaan
;