Penguat kuasa jumpa najis, bangkai tikus, 3 restoran diarah tutup
Mohd Zalani Md Atan
Januari 20, 2023 18:21 MYT
Januari 20, 2023 18:21 MYT
KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) hari ini mengeluarkan notis penutupan selama 14 hari kepada tiga restoran di Indera Mahkota, di sini, selepas didapati tidak mematuhi amalan kebersihan yang sewajarnya.
Penguat kuasa yang melakukan Operasi Mega Bersepadu Perundangan Kesihatan, antara lain menemui najis dan bangkai tikus di dalam premis terbabit ketika melakukan pemeriksaan.
Pengarah JKNP Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, tiga premis makanan tersebut diarahkan tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
"Dalam operasi ini, kita temui najis, bangkai dan tempat pembiakan tikus di beberapa premis makanan.
“Selain itu, ada yang kita periksa menggunakan peti sejuk rosak selain mencampurkan barangan mentah dan bermasak dalam ruangan sama (dalam peti sejuk).
“Pemarkahan dibuat pegawai penguat kuasa kita terhadap premis terbabit mendapati mereka hanya memperoleh markah penggredan bawah 50 peratus.
“Jadi, kita mengarahkan mereka menghentikan operasi bagi melakukan kerja pembersihan seperti ditetapkan,” katanya.
Dr Nor Azimi berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Mega Bersepadu Perundangan Kesihatan Awam di di kawasan Indera Mahkota 8, pada Jumaat.
Operasi dua hari yang bermula hari ini membabitkan 135 anggota penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah dan Sektor Inspektorat dan perundangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), diadakan serentak di 11 daerah di Pahang.
Nor Azimi juga memaklumkan sebanyak 19 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang merokok di kawasan larangan seperti di premis makanan, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.