Penguasaan bahasa tidak harus bersifat ''zero-sum game'' - PM Anwar

Bernama
Oktober 6, 2024 12:19 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Ipoh hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan penekanan terhadap sesuatu bahasa tidak seharusnya bersifat 'zero-sum game'', sehingga meminggirkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Beliau berkata sebarang penekanan dalam aliran persekolahan untuk menggunakan bahasa lain seperti Cina dan Tamil tidak sepatutnya mengurangkan penekanan terhadap Bahasa Melayu, yang mempunyai kedudukan istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan dan dasar Pendidikan Negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penekanan yang sama juga perlu diberi perhatian dalam sektor swasta.
"Memang benar saya antara yang menekankan keperluan penguasaan Bahasa Inggeris dalam dunia yang mencabar, dan penguasaan bahasa Cina atau Tamil, Bahasa Arab dan bahasa lain. Tidak ada negara yang kian meningkat maju yang akan menyisihkan bahasa-bahasa utama di dunia.
"Namun, ini bukan zero-sum game. Penekanan kepada penguasaan Bahasa Inggeris yang sangat perlu dan utama di negara ini, tidak seharusnya meminggirkan atau mengurangkan penekanan terhadap penguasaan Bahasa Melayu yang baik sebagai Bahasa Kebangsaan," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #zero-sum game #aliran persekolahan #Bahasa Melayu #bahasa kebangsaan
;