Penguasaan asas lemah, punca minat terhadap sains dan matematik merosot
Bernama
Ogos 13, 2023 20:35 MYT
Ogos 13, 2023 20:35 MYT
KUALA LUMPUR: Penguasaan asas sains dan matematik yang lemah di peringkat sekolah rendah dilihat sebagai antara faktor kemerosotan jumlah pelajar memilih aliran sains di peringkat menengah.
Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Anuar Ahmad berkata, asas yang tidak kuat menyebabkan ramai murid menganggap mata pelajaran berkenaan susah sekali gus mengikis minat mereka dalam sains dan matematik.
Beliau berkata kaedah pembelajaran dan pengajaran yang tidak menarik, mengutamakan sasaran markah serta mendapat jawapan betul dan tepat, menyebabkan murid sekolah rendah 'takut' dengan kedua-dua mata pelajaran itu.
"Murid sekolah rendah yang berumur tujuh hingga 12 tahun ini akan rasa belajar sains dan matematik sangat susah dan tertekan.
"(Kalau terus dapat jawapan) ...itu bukan sains. Itu adalah satu bentuk hafalan. Sains adalah proses cubaan, pemerhatian dan ujian," katanya kepada Bernama dengan memberi contoh Thomas Alva Edison yang beberapa kali gagal dalam cubaannya sebelum berjaya menghasilkan mentol lampu.
Anuar berkata silibus pembelajaran sains dan matematik ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) yang dikatakan terlalu banyak turut menjadi faktor penyumbang kedua-dua mata pelajaran itu kurang diminati di peringkat sekolah rendah.
Menurutnya, murid di peringkat sekolah rendah sepatutnya tidak dibebani dengan silibus yang banyak sebaliknya lebih menumpukan kepada aktiviti eksplorasi dan pemerhatian di luar bilik darjah.
Selain itu, Anuar berkata keperluan guru yang terpaksa menghabiskan silibus pembelajaran juga boleh menjadi punca murid tidak berminat dengan mata pelajaran sains dan matematik khususnya bagi mereka yang lemah dalam pembelajaran.
"Kadang-kadang ada murid belum memahami sepenuhnya apa disampaikan tetapi guru tidak mempunyai masa untuk menunggu ataupun memastikan mereka benar-benar faham, dan guru terpaksa masuk topik seterusnya sebab mereka perlu mengejar silibus.
"Akhirnya, ramai murid ketinggalan dari segi memahami maksud dan tujuan sesuatu fenomena sains yang mereka pelajari," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata KPM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) perlu mencari pendekatan baharu bagi menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran sains dan matematik.
Hasil kajian Persatuan STEM Nasional (NSA) mendapati hanya 19 peratus pelajar memilih aliran sains sejak 2020.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata silibus memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju pembelajaran sains, teknologi, dan matematik (STEM).
Katanya, beliau menerima banyak aduan daripada guru yang menyatakan mereka terpaksa mempercepatkan sukatan pembelajaran kerana kesuntukan masa.
"Saya rasa perkara itu (silibus pembelajaran STEM) dalam perhatian KPM dan saya yakin ia dalam proses untuk ditambah baik supaya stigma STEM sukar, boleh dihapuskan apabila KPM membuat pelarasan terhadap sukatan pelajaran itu," katanya.
-- BERNAMA