Penguasa perlu ada budi bicara sebelum keluarkan kompaun - Mas Ermieyati
Astro Awani
April 28, 2021 21:30 MYT
April 28, 2021 21:30 MYT
KUALA LUMPUR: Anggota penguat kuasa disarankan agar menggunakan budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun yang sesuai dengan melihat faktor-faktor penyebab dan situasi semasa yang menyebabkan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihak penguatkuasa perlu memahami sewajarnya undang-undang yang hendak dikuatkuasakan dan impak negatif yang akan berlaku bagi setiap tindakan yang diambil.
"Untuk kes ini, peniaga burger dan 'colek' dikategorikan sebagai penjaja informal dan kompaun sebegini sudah pasti memberi kesan kepada perniagaan dan kehidupannya.
"Tambahan lagi, saya difahamkan yang kes ini, anggota penguat kuasa telah terkhilaf dalam mengeluarkan kompaun kesalahan syarikat yang melanggar SOP sebanyak RM50,000 berbanding kesalahan individu dengan kompaun maksima RM10,000.
"Jika diberi pengurangan kompaun sekalipun peniaga ini tidak dapat melunaskan jumlah tersebut apatah lagi jika kompaun maksima RM10,000 dikenakan ke atasnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memberitahu pihaknya akan membuat penilaian semula terhadap kes seorang peniaga burger di Kelantan yang dikompaun RM50,000, sama ada diberi pengurangan atau pengecualian.
Dalam pada itu jelas Mas Ermieyati peniaga burger bukanlah sebuah perusahaan bertaraf syarikat tetapi sekadar usahawan tidak formal yang hanya bertaraf perniagaan individu.
"Berniaga di kawasan kampung, hendak mendapatkan jualan RM100 sehari pun masih belum tentu.
"Adalah diharapkan agar hasrat kerajaan dalam membantu golongan usahawan tidak formal dalam tempoh pendemik tidak terjejas.
"Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga mengharapkan pemahaman dan sokongan daripada semua pihak untuk terus kekal motivasi bagi mengekalkan rantaian ekonomi negara tidak terjejas dengan kes-kes seumpama ini.
"Ia sudah tentu telah menjatuhkan motivasi peniaga kecil yang baru sahaja hendak melangkah selepas terjejas hampir dua tahun disebabkan penularan COVID-19," ujarnya.
#peniaga burger
#peniaga colek
#dikompaun
#Kelantan
#SOP
#Medac
#Peniaga kecil
#budi bicara
#Mas Ermieyati Samsudin