Pengsan ketika memandu, pengurus ladang maut dalam perjalanan ziarah saudara sakit

Nur Fazlizai Ali
April 28, 2021 23:26 MYT
Hanyan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Gambar/ Astro AWANI
KEMAMAN: Hasrat seorang pengurus ladang untuk menziarahi saudaranya yang sakit tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia ketika sedang memandu di Kilometer 325.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT 2) berhampiran bandar Kerteh di sini, pada Rabu.
Kejadian jam 1.40 tengah hari itu, hampir menyebabkan tragedi lebih besar membabitkan isteri dan tiga anak mereka apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu mangsa terbabas ke sebuah longkang sebelum melanggar tebing bukit.
Dalam kejadian itu, Khairulafzaruddin Uyob, 46, yang bekerja di Felcra Bukit Sedalan, Melaka, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi sejurus selepas kejadian.
Difahamkan, ketika kejadian, Khairulafzaruddin dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menziarahi abang iparnya.
Sebelum kejadian, mangsa yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dikatakan sempat berehat di Hentian Rehat dan Rawat Perasing di Jabor di sini, selepas mengadu sakit dada.
Mangsa kemudian dikatakan tidak sedarkan diri ketika memandu tidak lama selepas menyambung perjalanan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut, katanya.
#pengurus ladang #maut #pengsan ketika memandu #tidak sedarkan diri #kereta terbabas #MPV terbabas #LPT2 #kemalangan
;