Pengosongan tangki septik penting elak pencemaran - IWK

Astro Awani
Januari 2, 2020 16:33 MYT
Indah Water menjalankan perkhidmatannya mengikut standard dan piawaian tinggi yang telah ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan segala bahan kumbahan yang disedut dapat dirawat dengan baik di loji-loji rawatan kumbahan IWK. - Gambar fail
Biarpun Malaysia telah mencapai kemajuan yang pesat dalam industri pembetungan terutamanya bagi sistem pembetungan bersambung, namun negara kita masih mempunyai sistem pembetungan yang tidak bersambung iaitu sistem tradisional seperti Tangki Septik Individu (IST) dan Tangki Septik Komunal (CST).
Adalah dianggarkan terdapat kira-kira 1.35 juta buah tangki septik di negara ini. Sistem tradisional lain yang masih digunapakai adalah seperti palong dan tandas curah, yang dianggarkan sekitar 870,000 buah.
Tangki septik individu merupakan tangki septik yang terletak di bawah tanah, sama ada di bahagian depan, belakang atau di tepi rumah kita semua. Tangki septik yang mengikut piawaian akan berfungsi sebagai tangki yang menerima air sisa kumbahan dari sebuah rumah sahaja dan ia mempunyai kapasiti rawatan yang terhad.
Ia sebenarnya hanya mengumpulkan air sisa dari aktiviti seharian kita di rumah seperti mandi, membasuh pakaian atau pinggan mangkuk dan penggunaan tandas.
Partikel kasar dan berat daripada air sisa yang masuk ke dalam tangki septik akan mendap ke dasar tangki menjadi enapcemar dan air yang bersih akan mengalir keluar berhampiran permukaan atas tangki menuju ke longkang atau parit.
Tangki ini perlu dikosongkan sekurang-kurangnya setiap dua tahun sekali bagi mengelakkan enapcemar yang terkumpul di dalamnya menjadi keras.
Sekiranya enapcemar tersebut mengeras, maka air sisa baharu hanya akan melalui tangki tersebut tanpa sebarang rawatan dan seterusnya masuk ke dalam longkang-longkang berdekatan dan akhirnya, sungai-sungai akan turut tercemar sehingga boleh membunuh segala hidupan akuatik di dalamnya.
Cuba bayangkan senario 1.35 juta buah tangki septik individu dan 870,000 buah tangki tandas tradisional ini tidak mendapatkan pengosongan berkala.
Sudah tentu enapcemar ini akan memenuhi ruang di dalam tangki dan akibatnya air sisa kumbahan yang baru dilepaskan daripada rumah atau bangunan terus keluar tanpa apa-apa rawatan.
Lebih membimbangkan air sisa yang tidak mendapat rawatan tersebut akan melalui longkang perumahan untuk menuju ke sungai atau sesetengahnya akan meresap masuk ke dalam tanah.
Apabila ini berlaku, maka sumber air di sungai dan bawah tanah akan tercemar sehingga boleh menyebabkan penyakit bawaan air seperti demam kepialu, taun dan Hepatitis A.
Sekiranya seseorang minum air yang tercemar dengan kuman dan virus penyakit bawaan air tadi, kebarangkalian untuk mendapat penyakit cirit birit adalah sangat tinggi dan mungkin akan mengakibatkan kegagalan organ mustahak seperti buah pinggang serta berakhir dengan kematian.
Oleh itu, bagi mengurangkan kesan pencemarannya ke atas alam sekitar dan kesihatan awam, adalah penting untuk setiap pemilik tangki septik atau tangki-tangki tradisional ini mendapatkan perkhidmatan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (Indah Water) untuk membuat pengosongan secara berjadual.
Dalam hal ini, Indah Water menjalankan perkhidmatannya mengikut standard dan piawaian tinggi yang telah ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan segala bahan kumbahan yang disedut dapat dirawat dengan baik di loji-loji rawatan kumbahan IWK.
Kita lihat bagaimana implikasi yang akan berlaku sekiranya para pemilik tangki septik dan tangki tandas tradisional tidak melakukan pengosongan berkala.
Impak kepada kesihatan awam melalui wabak penyakit bawaan air ini akan menyebabkan ramai manusia mungkin terkorban ekoran sumber air minuman yang tercemar. Negara akan kerugian besar apabila rakyatnya dilanda bencana dan meninggalkan kesan buruk kepada kestabilan ekonomi.
Justeru, pemilik tangki septik dan tangki tandas tradisional ini disarankan untuk melakukan segera pengosongan tangki septik masing-masing tanpa perlu bertangguh lagi. Lakukannya untuk diri sendiri, keluarga, kesihatan masyarakat awam dan menjaga sumber air persekitaran kita.
Menurut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, kewajipan untuk mengendali dan menyelenggarakan tangki septik individu terletak kepada pemilik atau penghuni mana-mana premis yang menggunakan sistem ini.
Jadi, selaku pemilik tangki septik dan tangki tandas tradisional, jalankanlah tanggungjawab anda segera demi kepentingan alam sekitar dan juga generasi akan datang, yang akan merasai kesan daripada tabiat kita hari ini.
Untuk maklumat lanjut, lawati laman sesawang www.iwk.com.my atau muat turun aplikasi Indah Water melalui Apple Store atau Play Store.
#air #ekonomi #Indah Water #IWK #kesihatan #Tangki air septik
;