Pengorekan pasir sungai atasi masalah banjir di Kota Belud - Hajiji
Eleanor Michelle Patrick
Januari 18, 2021 22:15 MYT
Januari 18, 2021 22:15 MYT
KOTA BELUD: Kerajaan Sabah akan melakukan projek mendalamkan sungai di Kota Belud bagi mengatasi masalah banjir di daerah tersebut.
Tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, projek mendalamkan sungai itu dikenal pasti antara penyelesaian kepada situasi kekerapan banjir yang berlaku di daerah berkenaan sejak insiden gempa bumi pada tahun 2015.
"Kita akan memberikan tender dan kontrak pengorekan pasir sungai kepada kontraktor tempatan yang berwibawa serta bekerjasama dengan syarikat milik kerajaan.
"Kita akan membuat yang terbaik bagi mengatasi masalah ini," katanya selepas melakukan lawatan ke lokasi banjir di daerah itu pada Isnin.
Sebelum ini, insiden banjir dan banjir kilat kerap berlaku di Kota Belud berikutan paras air sungai terutamanya Sungai Abai menjadi semakin cetek disebabkan lambakan pasir yang berpunca daripada kejadian gempa bumi enam tahun lalu.
Terdahulu, dalam lawatan tersebut, Hajiji meminta kesemua yang terlibat di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kota Belud supaya mematuhi prosedur operasi standart (SOP) untuk mengelak penularan COVID-19.
Jelasnya lagi, bantuan kerajaan akan diagihkan dari semasa ke semasa bagi membantu meringankan beban mangsa yang terkesan akibat musibah terbabit.
Setakat jam 8 malam tadi, seramai 264 mangsa banjir di Kota Belud ditempatkan di empat buah PPS melibatkan Dewan Masyarakat Tun Said, Dewan Kg Lentingi, Dewan SK Tamau dan Dewan Muhibbah Kg Tombol.