Pengoperasian sekolah: Tak hadir tak apa, tapi perlu ada surat penjelasan - Radzi Jidin

Firdaus Azil
September 12, 2021 08:55 MYT
Namun, Radzi berkata, apa yang penting untuk Kementerian ialah mengembalikan semula murid-murid setiap lapisan ke sekolah dalam keadaan yang selamat. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Ibu bapa yang memutuskan untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah apabila ia kembali dibuka 3 Oktober ini tidak akan dianggap telah melakukan kesalahan disiplin dan tiada surat amaran akan dikeluarkan.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memahami tentang kegusaran pihak penjaga, ekoran penularan COVID-19 di negara ini.
Namun, jelasnya lagi, biarpun tiada surat amaran, pihak ibu bapa dan penjaga masih perlu menulis surat tentang ketidakhadiran jagaan mereka, bagi tujuan rekod pentadbiran sekolah.
“Tak hadir tak apa..kami tak akan hantar surat amaran tetapi ibu bapa (dan penjaga) perlu menulis surat penjelasan kepada pihak sekolah dan kaedah ini akan digunapakai sehingga hujung tahun ini.
“Kalau ibu bapa rasa tak selamat, takut (anak-anak dan jagaan) kena denda, tak perlu risau, kerana kami tak akan ambil tindakan displin, tapi perlu ditulis surat.
"Ini merupakan satu keseimbangan yang kita gunakan, dalam kita cuba membawa anak-anak kembali ke sekolah, dan pada yang masa, kita mengambil kira kerisauan mereka,” katanya dalam Sidang Media – Pengoperasian Sekolah, di Putrajaya hari ini.
Tidak dianggap kesalahan disiplin jika tidak hantar anak ke sekolah
Namun, Radzi berkata, apa yang penting untuk Kementerian ialah mengembalikan semula murid-murid setiap lapisan ke sekolah dalam keadaan yang selamat, serta memastikan mereka tidak terus keciciran akibat pandemik yang melanda negara ini.
#buka sekolah #Radzi Jidin #Menteri Kanan Pendidikan #Pengoperasian Sekolah