Pengoperasian sekolah: Pakaian seragam tak perlu, pelitup muka wajib - Radzi Jidin

Firdaus Azil
September 12, 2021 18:24 MYT
KPM akan membekalkan topeng muka khusus bagi golongan murid yang kurang berkemampuan, berbanding rakan-rakan mereka yang lain. - Gambar hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Pemakaian pelitup muka untuk sesi persekolahan bagi negeri-negeri tertentu mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula 3 Oktober ini, adalah wajib, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.
Beliau berkata, ia merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti bagi meminimakan risiko penularan COVID-19 di kalangan murid-murid, serta warga sekolah yang lain.
Namun, jelasnya lagi, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membekalkan topeng muka khusus bagi golongan murid yang kurang berkemampuan, berbanding rakan-rakan mereka yang lain.
“Kalau nak pakai pelitup berganda digalakkan. Tetapi pemakaian pelitup muka diwajibkan. Dan bagi murid dari keluarga atau latar belakang sosio yang kurang berkemampuan, kita akan ikhtiarkan bantuan pelitup muka untuk mereka di sekolah.
BACA: Pengoperasian sekolah: Hanya 50 peratus kehadiran murid dalam kelas, kurangkan risiko penularan - Radzi Jidin
BACA: Pengoperasian sekolah: Tak hadir tak apa, tapi perlu ada surat penjelasan - Radzi Jidin
“Kita akan bekalkan pada guru, dan mereka akan melihat murid ni perlu bantuan atau tidak. Kita akan laksanakan usaha ini bagi membolehkan kita membantu anak-anak yang ingin datang ke sekolah, tapi tak mampu,” katanya lagi.
Dalam Sidang Media – Pengoperasian Sekolah di Putrajaya hari ini, Radzi berkata, sesi persekolahan akan dimulakan mengikut fasa-fasa PPN, dan mengamalkan sistem penggiliran kehadiran mengikut mingguan.
Selain itu beliau berkata, Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan 2021 pula akan dilanjutkan sehingga Mac 2022.
Dalam pada itu, Radzi berkata, kementerian turut memahami kegusaran sesetengah ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan pakaian seragam yang bersesuaian untuk jagaan mereka, ekoran perubahan saiz badan.
Oleh itu, beliau berkata, pemakaian seragam sekolah tidak diwajibkan untuk tempoh tertentu, dengan syarat ia adalah kemas, sopan, serta bersesuaian dengan keadaan di sekolah.
“Ada ibu bapa yang mungkin melihat baju anak atau jagaan mereka dah ketat, dah lama di rumah, tak boleh nak zip dan sebagainya. Maka kita kata, murid boleh pakai pakaian yang sesuai, kemas dan sopan, jika pakaian seragam sedia ada tidak sesuai lagi.
“Semangat kita adalah untuk membawa mereka kembali ke sekolah, bukan nak punish atau nak denda, tapi seboleh-bolehnya kita nak mereka kembali ke sekolah,” katanya lagi.
Di samping itu, Radzi berkata, KPM akan memberi penekanan kepada pihak sekolah untuk menyediakan kelas dengan sistem pengudaraan yang lebih baik, selari dengan saranan pakar kesihatan antarabangsa.
Selain itu, dengan jumlah kehadiran separuh daripada asal, maka kedudukan murid-murid dalam satu kelas boleh dijarakkan.
“Kita akan beri penekanan kepada perkara ini, dan kita maklumkan kepada warga pendidik serta pentadbiran sekolah untuk memastikan sistem pengudaraan itu dapat berada pada tahap yang baik,” ujarnya.
Selain itu, Radzi berkata, aktiviti ko-kokurikulum bagi sekolah yang boleh dibuka, masih belum dibenarkan.
Tetapi bagi aktiviti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), beliau berkata, ia dibolehkan dengan syarat murid-murid perlu memakai pakaian sukan dari rumah, bagi mengelakkan tiada kepatuhan penjarakan sosial sewaktu dalam bilik persalinan.
#Pengoperasian Sekolah #Radzi Jidin #SOP pembelajaran #penjarakan sosial #Kementerian Pendidikan #Menteri Kanan Pendidikan #PPN #COVID-19 #pelitup muka
;