Pengoperasian di CIQ BSI perlu ditingkatkan segera - Onn Hafiz

Muhammad Aiman Hakeem
April 19, 2023 10:30 MYT
Onn Hafiz berharap agar semua kaunter di Kompleks CIQ dibuka dan beroperasi sepenuhnya menjelang Hari Raya Aidilfitri. - Astro AWANI
JOHOR BAHRU: Pengoperasian pintu sempadan negara khususnya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, masih belum berada pada tahap kecekapan yang penuh.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata, kesiapsiagaan itu hanya pada kadar 80 peratus dan ianya perlu dipertingkatkan segera menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
Katanya, antara isu yang perlu diberikan perhatian di pintu sempadan tersebut membabitkan beberapa kaunter yang masih tidak beroperasi, selain masalah sistem teknikal dan juga kekurangan petugas.
"Kompleks CIQ ini fasiliti yang tersibuk di dunia dan bakal menjadi lebih sibuk lagi selepas ini (pada hari raya Aidilfitri).
"Daripada segi efisiensi pada hari ini saya tengok, belum lagi berada pada tahap 100 peratus. Namun bagi saya, ianya hanya baru 80 peratus efisien.
"Sebagai contoh pagi tadi ada kaunter-kaunter yang sepatutnya dibuka namun tidak beroperasi, mungkin sebab isu kekurangan petugas.
"Malah, terdapat juga isu teknikal yang saya difahamkan, ada masalah teknikal yang bersangkut-paut dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sebagainya," katanya selepas meninjau persiapan pintu sempadan Johor-Singapura di Kompleks CIQ, BSI di sini, pada Rabu.
Berhubung masalah itu, beliau menjemput Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Datuk Ruslin Jusoh ke negeri berkenaan, untuk meneliti dan memperhalusi perkara tersebut.
"Saya juga nak menjemput Ketua Pengarah Imigresen Malaysia yang baharu untuk datang ke imigresen ini secepat mungkin untuk melihat bagaimana kita boleh bantu untuk mempertingkatkan kadar kecekapan di sini.
"Komitmen daripada Ketua Pengarah Imigresen sangat penting untuk beliau melihat sendiri apa yang berlaku. Pada masa yang sama, kita juga merisaukan tentang kebajikan petugas-petugas imigresen, yang tidak dinafikan, sedang bertungkus-lumus menghadapi lambakan pengembara yang masuk dan keluar.
"Saya menerima laporan bahawa kadang-kadang petugas ini terpaksa menghabiskan waktu yang lama untuk menyelesaikan tugas mereka. Perkara-perkara ini saya harap dapat diselesaikan pada kadar yang segera dalam sehari dua ini," tambah beliau.
Sementara itu, bagi mengatasi kesesakan di tambak Johor, beliau berharap agar semua kaunter di Kompleks CIQ dibuka dan beroperasi sepenuhnya menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Jelas Onn Hafiz, kira-kira 2 juta kenderaan dan pengembara dijangka akan melalui pintu sempadan tersebut sepanjang tempoh perayaan tersebut.
"Berhati-hatilah semasa menggunakan jalan raya tetapi khas untuk bangunan CIQ, BSI ini, Saya harap (pengguna) kena banyak bersabar kerana kita sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan semua kaunter dibuka selain mengoptimumkan kecekapan 100 peratus.
"Tetapi tahap kesabaran perlulah tinggi bagi semua pengguna yang bakal beramai-ramai memasuki Johor atau yang kembali ke Singapura dan sebagainya," katanya.
#CIQ #pintu sempadan #onn hafiz ghazi #Aidilfitri
;