Penglibatan wanita bukan sekadar pengisi kuota - Dr Wan Azizah

Faida Rahim
Jun 12, 2023 16:07 MYT
DR WAN AZIZAH: Saya berharap ini adalah permulaan lebih banyak inisiatif untuk mencipta gelombang dalam melahirkan lebih ramai pembuat keputusan dalam kalangan wanita, bukan hanya di Malaysia tetapi di peringkat global. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penglibatan kaum wanita sebagai pembuat keputusan dalam sesebuah organisasi perlu dilaksanakan dan bukan dipilih sebagai ‘pengisi’ atau penyeri kuota semata.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia kerana golongan wanita di negara ini mempunyai kebolehan serta kemahiran sesuai dengan jawatan itu.
“Dengan pendidikan berterusan, peningkatan kemahiran, penyesuaian semula kemahiran, dan pendedahan kepada pelbagai kemahiran, kesemuanya penting untuk memastikan golongan wanita sentiasa dilengkapi dengan keupayaan untuk kekal di puncak kejayaan.
“Memilih kaum wanita sepatutnya bukan perkara yang diwajibkan oleh peraturan.
"Wanita sepatutnya menjadi pilihan utama berdasarkan keupayaan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Meja Bulat Kepimpinan Antara Generasi Asia Pasifik, di sini, pada Isnin.
Tambah Dr Wan Azizah, masyarakat juga mahu melihat kerjasama antara pemimpin daripada generasi berbeza di mana pemimpin lebih muda dapat belajar daripada pemimpin lebih berpengalaman.
“Mereka yang lebih berpengalaman sepatutnya menjadi mentor dan contoh teladan kepada pemimpin-pemimpin baharu. Itulah sebabnya acara seperti ini penting untuk membina hubungan.
"Saya berharap ini adalah permulaan lebih banyak inisiatif untuk mencipta gelombang dalam melahirkan lebih ramai pembuat keputusan dalam kalangan wanita, bukan hanya di Malaysia tetapi di peringkat global,” katanya.
Dr Wan Azizah, yang juga Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia berharap dapat melihat lebih ramai wanita melangkah ke sektor kepemimpinan dan pengurusan organisasi kerajaan mahupun swasta.
Persidangan Meja Bulat Kepimpinan Antara Generasi Asia Pasifik yang mengangkat tema penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan berlangsung 11 hingga 14 Jun dan disertai lebih 200 ahli Pandu Puteri dari rantau Asia Pasifik.
#persidangan Meja Bulat Kepimpinan Antara Generasi Asia Pasifik #Wan Azizah Wan Ismail #wanita sebagai pembuat keputusan #Persatuan Pandu Puteri
;