Penglibatan holistik mampu realisasikan transformasi PLKN
Bernama
November 22, 2013 07:15 MYT
November 22, 2013 07:15 MYT
Penglibatan lebih holistik semua pihak termasuk pengusaha kem, jurulatih serta pegawai kementerian sendiri dilihat mampu mencapai matlamat terhadap usaha mentransformasikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dalam realisasikan matlamat berkenaan, sebarang pengisian yang ingin dibuat perlu diselaras agar ia menepati hasrat kerajaan dalam melahirkan masyarakat yang mempunyai semangat kesukarelawan, cintakan negara sekali gus mencapai matlamat perpaduan.
"'Ground work' atau kerja-kerja awal dalam memastikan transformasi yang kita nak bawa ini dapat sentuh semua pihak berkepentingan atau 'stakeholders'...Kita dah kenal pasti, pihak berkepentingan ini, termasuk pengusaha kem dan jurulatih yang akan terlibat secara langsung.
"Kalau tidak, tujuan dan matlamat murni ini tidak dapat dikecapi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.
Dalam memastikan tiga pegangan pokok iaitu perpaduan, kesukarelaan dan semangat patriotisme utuh dalam kalangan jiwa pelatih PLKN, Hishammuddin berkata pendekatan perlu disesuaikan mengikut masa, tempat dan zaman dan ia dapat dilihat dalam transformasi yang akan dilakukan.
"Skuad sukarelawan kita juga dilihat boleh mewujudkan gelombang kebaikan atau gelombang yang membina.
"Kalau tidak kita bimbang dalam landskap global pada hari ini yang banyak menjurus kepada nilai-nilai negatif, kebencian serta suntikan pembohongan dan perpecahan, sekiranya tidak ditangani dengan gerakan positif, saya bimbang generasi yang akan corak kepimpinan negara pada masa akan datang tidak mampu memastikan negara dan bangsanya dapat bertahan," katanya.
Beliau berkata dalam usaha memperkasakan PLKN, transformasi akan dilakukan menerusi beberapa pendekatan termasuk pendekatan Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS).
"Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan menggunakan pendekatan baharu bagi modul latihan PLKN mulai tahun hadapan dengan menubuhkan 10 pasukan Inspektorat untuk memantau pelaksanaan modul-modul latihan di kesemua 81 kem PLKN seluruh negara," katanya.
Mengulas lanjut mengenai transformasi itu, Hishammuddin berkata Kumpulan satu siri 11/2014 yang bermula 4 Jan depan akan terlibat dalam program Kempen Keselamatan Jalan Raya.
"Program ini merupakan kerjasama melalui NBOS di antara Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Pengangkutan serta JLKN Kementerian Pertahanan.
Hishammuddin berkata mesyuarat sulung majlis Latihan Khidmat Negara yang akan diadakan pada 10 Dis depan, akan dipengerusikan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid.
Beliau sebelum ini berkata dalam usaha memperkasakan PLKN, Kementerian Pertahanan akan melakukan transformasi program berkenaan menerusi beberapa pendekatan termasuk berteraskan penglibatan secara berterusan dan pemerkasaan.