Pengkomersilan Puasa: Mengaut keuntungan dari kesucian agama
Sathesh Raj
Jun 26, 2015 10:42 MYT
Jun 26, 2015 10:42 MYT
Pengkomersilan perayaan berbentuk keagamaan kini dilihat semakin meresap di dalam budaya masyarakat kita dan ada kalanya penghayatan sebenar sambutan keagamaan itu sendiri dilihat semakin pudar.
Itu antara pandangan anggota panel perbincangan dialog antara agama yang membincangkan topik 'The Power of Fasting: Purpose and Benefits' atau 'Kelebihan Berpuasa: Sebab dan Faedahnya' yang diadakan di Universiti Malaya pada Khamis.
Ahli- ahli panel yang terdiri daripada alim ulama dan ahli akademik bersetuju bahawa organisasi korporat telah mengkomersilkan agama demi meraut keuntungan.
"Saya memandu dari Bangi ke Kuala Lumpur setiap hari dan melihat banyak papan iklan sepanjang jalan dan sebelum bulan Ramadan juga sudah ada pelbagai iklan tentang tawaran makanan bufet.
"Bufet ini bukan murah. Apakah hilang sudah kerohanian kita kepada agenda pihak kapitalis?" tanya moderator, Dr.Shahreen Mat Nayan ketika membuka perbincangan.
Anggota panel dari Pusat Pengajian Sains dan Tamadun Islam, Khalina Normaiza Khalili berkata, "kita sememangnya semakin berlebih-lebih semasa meraikan atau berbuka puasa.
"Ibubapa bertanggungjawab untuk memupuk pengertian sebenar puasa serta makna penghayatannya, namun sesetengah ibubapa mencari jalan mudah dengan menggunakan wang,” katanya.
Tambahnya, adalah sudah sangat mencabar untuk kanak-kanak berpuasa, agenda menjadualkan rancangan memasak sebelum waktu berbuka pula jauh dari membantu.
Katanya lagi, secara beransur-ansur dan dengan latihan, golongan muda akan mengetahui tuntutan sebenar untuk berpuasa iaitu untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.
Sementara itu, bagi seorang lagi ahli panel, Paderi Dr.Clarence Devadass, beliau bersetuju bahawa mentaliti kapitalis sudah menjadi seakan kebiasaan hari ini dan semakin banyak pihak mengaut keuntungan daripada aktiviti keagamaan.
"Jika anda pergi ke pusat membeli-belah, sebelum sasuatu perayaan berakhir, hiasan untuk perayaan lain sudah mula dibawa masuk.
"Krismas sekarang sinonim dengan Santa Claus. Jingle bell dan mistletoe tidak lagi membawa makna sebenar Krismas, tetapi hanyalah sebahagian daripada aktiviti pengkomersilan sambutan ini.
"Pemberian hadiah juga telah menjadi seperti satu keperluan dalam kebanyakan perayaan. Persepsi materialistik ini memesongkan makna atau penghayatan sebenar sesebuah perayaan," tambah beliau.
Walaupun tidak banyak peluang untuk aktiviti pengkomersilan dalam agama Buddha, ahli panel dan sami Kumara Bhikku berkata, ada juga cubaan mengkomersilkan agama dengan banyak iklan diletakkan di tempat-tempat ibadat Buddha.
Ahli panel dan Timbalan Presiden Hindu Sangam Malaysia V Kandasamy juga bersetuju bahawa gimik pengkomersilan tidak harus mempengaruhi masyarakat dan mengganggu pemahaman kita dari tujuan sebenar perayaan sesuatu agama itu.
Dialog antara agama yang bertajuk, The Power of Fasting: Purpose and Benefits (Kuasa Puasa: Tujuan dan Faedah) membincangkan kepentingan berpuasa dalam sesuatu agama.
Dialog yang berlangsung di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya menyaksikan perhimpunan kira-kira 50 peserta di kalangan mereka termasuk, ulama, ahli akademik dan orang ramai.