Pengkomersialan inovasi: Jangan 'sampahkan' penyelidikan - Mustafa
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 3, 2022 13:06 MYT
Ogos 3, 2022 13:06 MYT
KUALA LUMPUR: Sinergi antara penyelidik atau inovator dengan pemain industri perlu dipergiatkan dalam memastikan hasil kajian yang dilakukan memberi impak yang besar kepada sesebuah industri.
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Seri Mohamed Mustafa Ishak berpandangan seolah-olah wujud jurang dan tiada kesalinghubungan antara inovator dan pemain industri.
"Pusat inovasi di universiti mesti ada hubungan dengan industri, tidak boleh bergerak secara bersendirian dan mereka (pusat inovasi) sememangnya tidak mahu bersendirian.
"Namun, hilangnya jaringan atau tiada kesalinghubungan antara universiti dan industri.
"Ada universiti yang telah bina hubungan dan sebagainya, saya tak nafikannya tetapi hubungan itu sangat minima dan pihak industri yang ingin bekerjasama atau berkolaborasi dengan penyelidik amat sedikit.
"Sedangkan kita (Malaysia) ada penyelidik yang hebat, dikenali sebagai antara dua peratus saintis terbaik dunia dan sebagainya," katanya dalam temu bual program Niaga AWANI pada Rabu.
Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan 99 projek dan program penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan dengan kos berjumlah RM5.6 bilion untuk sektor inovasi negara.
Projek dan program terbabit diluluskan bagi tempoh 2021 hingga 2022 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata kerajaan juga perlu menetapkan dasar inovasi terutama melibatkan inovator di Institut Pengajian Tinggi (IPT) supaya mereka mempunyai fokus serta hala tuju dalam kajian yang dilaksanakan.
"Dana ini (RM5.6 bilion), kalau dilihat dari segi angkanya (nampak) besar, tetapi kalau kita pecahkan ikut agensi, ia sangat kecil dan dana penyelidikan di peringkat IPT walaupun penyelidik paling ramai di situ.
"Sebaliknya, dana di peringkat IPT termasuk universiti penyelidikan semakin menguncup dari tahun ke tahun.
"Malah, kadar penolakan permohonan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dan sebagainya amat tinggi.
"Penyelidik mahu membuat penyelidikan tetapi dananya sangat sedikit, sekali gus mereka terpaksa bersaing dan banyak kertas cadangan penyelidikan yang baik, tetapi hasilnya 'dibakul sampahkan' atau tidak ke mana-mana kerana dana tidak cukup," katanya lagi.