Pengkhianatan Tun M tidak boleh dimaafkan - Reezal Merican

Astro Awani
Mac 4, 2016 23:24 MYT
REEZAL MERICAN: 'Pengkhianatan Tun M tidak boleh dimaafkan' -Gambar fail
Pengkhianatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bergelumang bersama mereka yang cenderung menjadi 'pencabul demokrasi' disifatkan tidak boleh dimaafkan sama sekali.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kalangan pemimpin dan ahli parti yang terlibat dalam menandatangani 'Deklarasi Rakyat' seolah-olah lupa akan janji dan sumpah setia mereka kepada parti.
"Apa yang cuba digambarkan sebagai 'gerakan rakyat' adalah sebenarnya politik yang sifar prinsip dan 'Machiavellian' sifatnya.
"Cukup menjengkel dan mengecewakan sekali, mereka yang saling 'membenci', hari ini bertemu dan bersetuju, malah berselindung di sebalik nama 'rakyat'. Kepentingan 'rakyat' diguna pakai sebagai pelindung kepada dendam kesumat peribadi.
"Saya cukup yakin, rakyat tidak semudah itu mahu menerima 'watak-watak' kitar semula ini. Saya amat bersetuju, sekiranya parti mengambil tindakan tegas kepada semua yang terlibat menandatangani 'deklarasi Machiavelli' tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Reezal Merican mengulas tindakan Dr Mahathir yang menandatangani deklarasi bersama dengan bekas pemimpin kanan negara, pemimpin pembangkang, aktivis politik dan ketua badan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat.
Deklarasi yang dinamakan ‘Citizen’s Declaration’ atau ‘Deklarasi Rakyat’ itu ditandatangani bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meletak jawatan.
Dalam pada itu katanya, parti kini tidak perlukan mereka yang hipokrit dan mencari kedudukan peribadi.
"Ini adalah serangan politik paling tidak bermaruah pernah berlaku terhadap UMNO. Parti tidak punya banyak pilihan, kecuali melakukan 'pembersihan segera' terhadap mereka yang bersekongkol dengan musuh.
"Tidak perlu kita simpan lagi, watak terdesak dan mereka yang mendahulukan ego peribadi, dan bukannya keutuhan parti.
"Sebagai ahli politik yang terdidik di era Dr Mahathir, hari ini adalah titik hitam kepada legasi politik negarawan tersebut," ujarnya.
Reezal turut mempersoalkan apakah Dr Mahathir juga rela untuk memperjuang anarki atas nama ego peribadi pada masa hadapan.
#Deklarasi Rakyat #Dr Mahathir #Reezal Merican #UMNO
;