Pengkebumian Karpal: Guan Eng akui polis hadir, tetapi tidak di dua lokasi

Astro Awani
April 23, 2014 20:13 MYT
Lim Guan Eng
Susulan dakwaan kerajaan negeri DAP Pulau Pinang berhubung ketidakhadiran anggota polis sewaktu upacara pengkebumian mendiang Karpal Singh Ahad lepas.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan tidak menafikan kehadiran pegawai dan anggota polis yang bertugas sepanjang tempoh empat hari bermula mayat mendiang Karpal dibawa pulang ke rumahnya hingga ke hari pembakaran mayat, Ahad lepas.
Sebaliknya beliau mempersoalkan kegagalan polis berada di dua lokasi sepertimana yang telah dirancang bersama sebelum ini.
Katanya, polis sepatutnya hadir mengiringi perarakan dari rumah mendiang Karpal dan mengawal Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Abbas di Dewan Sri Pinang.
Namun ia tidak berlaku sebagaimana dirancang.
Sehubungan itu katanya, beliau masih menanti laporan penuh daripada pihak polis berhubung kegagalan kehadiran polis di dua lokasi yang dimaksudkan.
“Beliau (polis) menyatakan memang polis ada, mungkin polis ada tetapi bukan di dua lokasi sepertimana yang telah di bincangkan, satu di waktu pagi, sewaktu mengiringi mendiang Karpal dari rumahnya dan yang kedua sewaktu TYT dikelilingi orang ramai , polis tiada untuk mengawal keadaan, hanya dua insiden sahaja, itu yang saya lihat , CPO cakap ada. Saya tunggu jawapannya itu saja,” kata Lim.
Lim merujuk kenyataan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi semalam yang berkata, polis Pulau Pinang telah menempatkan anggota yang secukupnya di beberapa lokasi bagi mengawal keadaan lalulintas dan orang ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal.
Ekoran ketiadaan anggota polis mengawal di dua lokasi berkenaan ketika itu menyebabkan pihak penganjur terpaksa menggunakan khidmat Pasukan Bantuan Sukarela (PBS) untuk mengawal keadaan.
Lim berkata demikian dalam sidang media di pejabatnya di komtar, pada Rabu.
Kelmarin, Lim dalam satu kenyataan media berkata, DAP meminta maaf kepada orang ramai yang hadir ke Dewan Sri Pinang pada Ahad untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal, tetapi gagal berbuat demikian kerana bilangan yang hadir terlalu ramai dan pihak polis tidak hadir untuk mengawal orang ramai.
Tambahnya, ekoran kejadian itu, kerajaan negeri akan menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca polis tidak hadir seperti dirancang, dan seterusnya mengatasi kelemahan yang telah menimbulkan masalah kepada orang ramai.
Pada Khamis, pemimpin pembangkang veteran DAP itu maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala arah utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira pukul 1.10 pagi.
#Karpal #Lim Guan Eng #pulau pinang
;