Pengkalan Hulu pula dilanda banjir, mangsa melonjak kepada 419 orang

Abd Razak Mohd Ali
November 3, 2023 01:15 MYT
Keadaan banjir di sekitar Pengkalan Hulu, Perak, 2 Nov 2023. - Foto APM Perak
IPOH: Hujan lebat lebih tiga jam mulai 6 petang semalam menyebabkan empat buah kampung di Pengkalan Hulu dilanda banjir.
Ekoran daripada itu sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Kuak Luar pada 11.30 malam tadi.
Pembukaan PPS kelima di Perak itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hulu Perak, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria dalam kenyataan malam tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, seramai 40 orang dari 14 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan.
Tambahnya, empat kampung terjejas ialah Kampung Paya Kuak Luar, Kampung Bukit Serdang Air Panas, Kampung Kuak Tengah dan Kampung Raja Kayu.
Dengan pertambahan itu, jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Perak melonjak kepada 419 orang daripada 121 keluarga pagi ini, berbanding 379 orang dari 107 keluarga malam tadi.
Seramai 171 orang daripada 50 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan 51 orang daripada 14 keluarga di Dewan MPTI, kedua-duanya di daerah Hilir Perak.
Di daerah Kerian pula, 100 orang dari 24 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak dan 57 orang dari 19 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu.
Sementara itu, mengikut ramalan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), hujan dijangka berlaku di daerah Hilir Perak dan Hulu Perak pada petang dan malam ini.
#banjir #PPS #banjir Perak #hujan lebat