Pengitaran semula kad SIM membahayakan pengguna - Jailani

Sharom Abu Bakar
Februari 24, 2018 20:35 MYT
Menurut Jailani, syarikat komunikasi harus memantau ejen yang dilantik dalam usaha mengekang kegiatan pengitaran semula kad SIM selain sentiasa mengemaskini maklumat pengguna.
Pengitaran semula kad SIM mengundang pelbagai risiko dan kesan negatif kepada pengguna telefon mudah alih di negara ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata sikap kurang prihatin ejen yang dilantik syarikat komunikasi menjurus kepada kegiatan itu.
Menurutnya, pihaknya memandang serius perkara itu dan kajian terperinci sedang dilaksanakan.
"Biasanya, pengguna asal akan meminta syarikat telekomunikasinya untuk membatal kad SIM yang sudah tidak dipakai, tetapi ia tidak dilakukan.
"Sebaliknya, kad SIM dikitar semula kepada pengguna baru dan ini akan mengakibatkan isu-isu berkaitan kecurian data, cloning dan sebagainya.
"Pihak kementerian kini sedang menjalankan kajian. Apabila selesai, kita akan cuba guna hasil kajian tersebut untuk mengemaskini peraturan dan membanteras isu-isu berkaitan dengan kitar semula kad SIM," katanya di sini, hari ini.
Menurut Jailani, syarikat komunikasi harus memantau ejen yang dilantik dalam usaha mengekang kegiatan itu selain sentiasa mengemaskini maklumat pengguna.
#Jailani Johari #kad sim #Kementerian Komunikasi dan Multimedia #mobile phone #sim card #syarikat telekomunikasi #telco
;