Pengisytiharan darurat tidak rasional - Tommy Thomas

Fareez Azman
Oktober 24, 2020 18:47 MYT
Tommy Thomas berpendapat, sukar untuk mencari hujah yang rasional menyokong darurat perlu diisytiharkan di Malaysia. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR : Pengisytiharan darurat di negara ini hanya akan memberi impak negatif terhadap badan politik negara, ekonomi serta demokrasi rakyat.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menyifatkan, sekiranya kerajaan mengisytiharkan darurat, tindakan itu seperti tidak berperlembagaan.
"Izinkan saya mempertimbangkan 3 pra-syarat dalam Artikel 150 (1): keselamatan, kehidupan ekonomi atau public-order. Tidak mungkin Perdana Menteri berpendapat bahawa keselamatan Malaysia terancam sama ada dia terus memegang jawatan.
"Begitu juga dengan ketenteraman awam. Itu meninggalkan kesan kepada "kehidupan ekonomi". Prasyarat ini tidak mempunyai aplikasi. Perhatikan bahawa "kesihatan" bukan asas.
"Ini adalah sangat mengejutkan. Negara kita selama ini pernah berdepan dengan wabak tuberikulosis, Spanish Flu dan penyakit berjangkit lain. Tetapi mereka (kerajaan ketika itu) tidak membenarkan pengisytiharan darurat,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
BACA: Agong nasihat rakyat tenang, sabar, jangan spekulasi
BACA: Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja dijangka berlangsung esok
Menurut Tommy, kesihatan awam yang mencukupi dan langkah-langkah pembersihan dapat dilaksanakan di bawah undang-undang biasa tanpa memerlukan kepada darurat diisytiharkan.
“Dalam keadaan ini, tidak ada alasan hukum untuk Proklamasi Kecemasan di Malaysia. Oleh itu, tindakan itu seperti tidak berperlembagaan," kata beliau lagi.
Tommy turut berpendapat, sukar untuk mencari hujah yang rasional menyokong darurat perlu diisytiharkan di Malaysia.
Malah pandemik COVID-19, jelasnya, telah melanda negara sejak Januari lalu dan negara dapat menanganinya dengan baik.
"Kerajaan yang sama, tetpi kemudiannya dalam tempoh semalaman mendakwa COVID-19 telah menjadi 'ancaman' sehingga kita menghadapi keadaan darurat," kata beliau lagi.
#darurat #Darurat Malaysia #perintah darurat #Peguam Negara #Tommy Thomas #COVID19 #Perdana Menteri
;