Pengisytiharan Darurat: Langkah proaktif kekang penularan COVID-19 - Hajiji
Eleanor Michelle Patrick
Januari 12, 2021 16:54 MYT
Januari 12, 2021 16:54 MYT
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong pengisytiharkan Proklamasi Darurat sebagai langkah proaktif memutuskan rangkaian pandemik COVID-19.
Hajiji menyifatkan, pengisytiharan darurat itu juga amat wajar demi menjaga keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara ini.
"Adalah penting untuk menghentikan virus ini daripada terus merebak dan melindungi kesihatan orang ramai," katanya dalam kenyataan ringkas pada Selasa.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pengisytiharkan darurat yang berkuatkuasa pada hari ini sehingga 1 Ogos hadapan.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Perisytiharan Darurat: Bukan rampasan kuasa tentera, tiada perintah berkurung
Keputusan berkenaan adalah sehari selepas Perdana Menteri, Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) di negeri terjejas pandemik COVID-19 termasuklah Sabah bermula Rabu ini.
Terdahulu, Hajiji yang hadir ke majlis Hari Terbuka Sesi Libat Urus: Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)(Pelan Pembangunan 2021-2025) mahu anggota perkhidmatan awam agar memandang serius pelan pembangunan lima tahun tersebut.
"Saya juga berharap agar tiada kalangan penjawat awam yang memandang remeh usaha besar ini apatah lagi cuba memboikot atau enggan bekerjasama dalam menjayakan dasar-dasar pembangunan kerajaan.
"Pelaksanaan Hala Tuju SMJ ini perlu digalas bersama melibatkan kepimpinan dan penjawat awam agar ia dapat direalisasikan dengan berkesan," katanya.