Pengisytiharan darurat berlandaskan konsep politik Islam - Abdul Hadi
Bernama
Januari 13, 2021 23:26 MYT
Januari 13, 2021 23:26 MYT
KUALA LUMPUR: Pengisytiharan darurat bagi menyekat penularan wabak COVID-19 adalah berlandaskan konsep Siyasah Syar'iyyah (politik Islam) yang diamalkan dalam mengurus sebarang isu yang berlaku sama ada melibatkan aspek kehidupan individu mahupun masyarakat.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengambil langkah seawal berlakunya wabak berkenaan seperti di negara-negara lain dan berjaya mengawal penularannya dengan kadar terhad, namun ia masih belum mampu mengatasi penularan wabak sepenuhnya.
"Sehingga kini beberapa negara telah mengisytiharkan darurat kesihatan, sama ada dilaksanakan di seluruh negara atau kawasan yang terhad.
"Darurat adalah kawalan yang wajib ditunaikan oleh kerajaan berdaulat untuk sementara waktu, bukan selama-lamanya sehingga penyelesaian wabak itu dapat dicapai. Rakyat wajib diselamatkan terlebih dahulu tanpa mempedulikan apa jua perkara yang lain," katanya menerusi catatan Facebook rasminya.
Abdul Hadi, yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, berkata darurat bagi menyekat penularan wabak COVID-19 wajib dilaksanakan.
"Semua pihak perlu berhenti sekejap berpolitik, walaupun masih ada yang tidak mahu mengaku kalah dengan apa sahaja tindakannya," katanya.
-- BERNAMA