Pengisian kalendar pelancongan sedang dimuktamad - MOTAC
Bernama
Disember 8, 2023 06:00 MYT
Disember 8, 2023 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang dalam proses memuktamadkan pengisian kalendar pelancongan Malaysia pada 2024 yang antara lain mungkin mengetengahkan beberapa acara besar bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara MOTAC Mohd Radzi Omar berkata mengikut perancangan, sebanyak 54 program disasar untuk diadakan tahun depan.
"Antaranya program Citrawarna Malaysia, Festival Drama Antarabangsa dan Festival Tarian Singa. Bagaimanapun, kita tidak boleh siarkan dahulu pengisian ini memandangkan ia belum diperinci dari segi tarikh penganjuran.
"Oleh itu, kalendar penuh mungkin siap dalam masa seminggu atau dua lagi," katanya kepada Bernama di reruai MOTAC sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pada Jumaat.
Beliau berkata berdasarkan perancangan, program Citrawarna Malaysia mungkin diadakan di Dataran Merdeka pada Mei manakala Festival Drama dirancang di Melaka pada Jun dengan kerjasama kerajaan negeri.
Mohd Radzi juga berkata penganjuran program mega itu membolehkan pihaknya melestarikan seni, budaya dan warisan negara dalam kalangan masyarakat selari dengan konsep MADANI.
-- BERNAMA