Pengiraan baharu: Kadar SSR beras negara 56.2 peratus

Bernama
Oktober 11, 2024 22:48 MYT
Menurut KPKM, pengurangan tersebut disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi produktiviti padi dan beras negara. - Gambar hiasan/Freepick
PUTRAJAYA: Kadar Sara Diri (SSR) dan Penggunaan Per Kapita (PCC) beras negara masing-masing adalah 56.2 peratus dan 76.7 kilogram setahun, berdasarkan asas pengiraan baharu SSR dan PCC beras selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan melalui pelarasan semula itu juga pihaknya turut memuktamadkan jumlah stok kecemasan beras bagi 2023 dengan jumlah 240,233 tan metrik setahun bagi stok dagangan dan 40,000 tan metrik setahun bagi simpanan stok.
"Data ini menunjukkan penurunan pengeluaran padi sebanyak 4.7 peratus iaitu 2.28 juta tan metrik pada 2022 kepada 2.18 juta tan metrik pada 2023.
"Keadaan ini turut menyebabkan pengeluaran beras turun kepada 1.5 juta tan metrik atau 4.6 peratus pada 2023 berbanding 1.57 juta tan metrik pada 2022," menurut kenyataan itu.
Menurut KPKM, pengurangan tersebut disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi produktiviti padi dan beras negara.
Kenyataan itu menyebut, pengiraan baharu SSR dan PCC beras merujuk kepada dokumen yang dikeluarkan oleh FAO iaitu Food Balance Sheets - A Handbook, 2001 dan Guidelines for the Compilation of Food Balance Sheet 2017.
Menerusi kaedah baharu itu, KPKM telah melaraskan asas pengiraan pengeluaran padi pada 2023 dengan mengambil kira jumlah padi bersih yang akan diproses kepada beras sahaja.
"Pengiraan ini tidak termasuk jumlah pengeluaran padi yang dikhususkan untuk tujuan benih pada tahun yang sama.
"Kaedah ini turut mengekalkan kadar faktor penukaran padi kepada beras yang digunakan pada masa ini mengikut zon iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, masing-masing pada kadar 70 peratus, 63 peratus dan 60 peratus," menurut kenyataan itu.
KPKM turut memaklumkan akan terus komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kadar SSR beras seperti melalui kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk dengan kerajaan negeri.
-- BERNAMA
#pengeluaran beras #faktor dalaman #pengiraan baharu #produktiviti padi
;