Penginapan pekerja asing: Kelonggaran boleh ditarik balik jika majikan gagal patuhi aku janji

Umavathi Ramayah
Oktober 12, 2022 20:47 MYT
M Saravanan menegaskan, atas desakan majikan dan kekurangan pekerja asing dalam pelbagai sektor, kerajaan memberi kelonggaran sementara dengan syarat majikan perlu membuat aku janji. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menarik balik kelonggaran Aku Janji Pematuhan Perundangan Perburuhan yang diberikan kepada majikan membabitkan penginapan pekerja sekiranya didapati gagal memenuhi standard yang ditetapkan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menegaskan, baru-baru ini, atas desakan majikan dan kekurangan pekerja asing dalam pelbagai sektor, kerajaan memberi kelonggaran sementara dengan syarat majikan perlu membuat aku janji ketika dalam proses penyediaan Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).
Justeru katanya, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) akan membuat pemeriksaan ke atas premis berkenaan dalam terdekat.
"Kita membenarkan pengambilan pekerja dengan aku janji daripada majikan, sepatutnya kelulusan hanya diberi selepas kerajaan berpuas hati dengan penginapan.
"Tapi disebabkan terdesak akibat kekurangan pekerja asing dalam pelbagai sektor, kita benarkan (permohonan) dengan aku janji.
"Selepas ini, JTKSM akan mengadakan lawatan dalam masa terdekat untuk melihat sama ada tempat penginapan pekerja dalam keadaan yang kondusif atau sebaliknya.
"Sekiranya tidak, saya mencadangkan kelulusan sementara ini dibatalkan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Penginapan dan Kemudahan Pekerja di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, pada sidang media, ketika ditanya mengenai dakwaan pembangkang yang mengatakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan ketika sambutan Deepavali, Saravanan berkata, secara logiknya selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat, ia akan mengambil beberapa minggu untuk penamaan calon dan hari pengundian.
"Pada 20 Oktober ini, SPR akan bermesyuarat. Jadi, mungkin seminggu atau dua minggu selepas Deepavali baru PRU15 akan diadakan," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC itu berkata, isu berhubung perkara itu hanya dimainkan pembangkang bagi menimbulkan perasaan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat India di negara ini.
"Apabila pengumuman Parlimen dibubarkan, pembangkang mainkan sentimen masyarakat India dengan mengatakan kita akan adakan PRU15 ketika musim perayaan Deepavali," ujarnya.
#pilihan raya umum #majikan #pekerja asing #penginapan pekerja asing
;