Penginapan di hotel dijangka meningkat tahun depan

Bernama
Disember 27, 2020 07:47 MYT
Kadar penginapan di hotel seluruh negara dijangka terus meningkat tahun depan apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir hujung tahun ini. - Foto Astro AWANI
LUMUT: Kadar penginapan di hotel seluruh negara dijangka terus meningkat tahun depan apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir hujung tahun ini.
Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata agensi itu menyasarkan peningkatan sebanyak 20 peratus, namun tidak menyatakan kadar penginapan ketika ini.
Beliau berkata peningkatan tempahan juga antara lain didorong oleh pelancaran Pakej Istimewa Cuti-cuti Malaysia Bagi Penjawat Awam pada September lepas bagi menggalakkan orang ramai khususnya penjawat awam bercuti dalam negara.
"Kita minta kakitangan awam ini yang mungkin kurang terkesan dan sesetengah daripada mereka juga mendapat bonus, untuk pergi melancong dan membantu industri pelancongan negara," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 - Siri 3 di Lumut Waterfront di sini pada Ahad.
Ammar turut mengingatkan pengusaha hotel dan resort supaya sentiasa melakukan proses nyahkuman bagi meningkatkan keyakinan pelancong menginap di premis mereka.
"Kita tidak berkompromi dan menegaskan prosedur operasi standard (SOP) harus sentiasa dipatuhi, sebagai contoh dalam program memancing hari ini setiap peserta perlu berjarak 1.5 meter (antara satu dengan yang lain) sehingga keseluruhan jarak pertandingan adalah 1.8 kilometer," katanya.
Mengenai program hari ini, Ammar berkata ia telah membantu meningkatkan tempahan hotel di daerah Manjung dengan kehadiran seramai 965 orang kaki pancing dari seluruh negara sekali gus menggalakkan pelancongan domestik.
Pertandingan itu adalah siri ketiga dan terakhir tahun ini selepas kali pertama diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 15 Mac dan disusuli di pantai Seri Lalang Laut, Mersing, Johor pada 3 Okt lepas.
Sementara itu, juara pertandingan Mohd Nik Rozaimi Nik Baharuddin, 26, berkata dia tidak menyangka mampu menaikkan ikan gemang seberat 1.34 kilogram seterusnya membawa pulang wang tunai RM30,000 selepas mencuba nasib dalam enam pertandingan memancing sepanjang minggu ini.
"Alhamdulillah, rezeki saya di Lumut. Saya bersyukur dapat memenangi pertandingan ini dan mahu menggunakan duit ini sebaiknya bersama keluarga," katanya yang bekerja sambilan dan berasal dari Pasir Puteh, Kelantan.
Naib johan dimenangi Suria Mat Sahar, 48, dari Batu Kurau, Taiping, dengan tangkapan ikan gemang seberat 1.025 kg manakala tempat ketiga milik Mohd Rizan Ahmad, 40, dari Seri Manjung dengan ikan senangin seberat 0.945 kg, masing-masing membawa pulang RM10,000 dan RM5,000.
-- BERNAMA
#Tourism Malaysia #Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan #PKPP #Cuti-Cuti Malaysia #perintah kawalan pergerakan #pelancongan
;