Penginap kediaman di lokasi tanah runtuh Genting Highlands diiring pasukan keselamatan
Raja Hisyam Raja Zaid
November 5, 2019 00:41 MYT
November 5, 2019 00:41 MYT
Pelancong yang masih mahu meneruskan percutian ke Genting Highlands dan menginap di Grand Ion Delemen dan Amber Court terpaksa diiring oleh pasukan keselamatan.
Ia berikutan laluan berkenaan, yang berlaku kejadian tanah runtuh pada petang Selasa, masih lagi belum dapat dibersihkan sepenuhnya sehingga lewat malam.
Tinjauan Astro AWANI di lokasi berkenaan sehingga jam 12.30 pagi Rabu mendapati lebih tiga buah bas yang membawa pelancong ke premis berkenaan terpaksa menunggu selama lebih kurang 3 jam sebelum mereka dibenarkan berjalan menuju ke hotel penginapan mereka.
Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Yusri Abdullah Sani, ini kerana lokasi laluan berkenaan masih lagi berisiko.
"Setakat ini masih ada pergerakan tanah dan arus air jadi kita terpaksa iring pelancong yang hendak ke premis berkenaan dan juga yang akan keluar.
"Selain itu, kerja-kerja pembersihan masih lagi belum sempurna dan masih lagi dilakukan.
"Itupun bergantung juga kepada keadaan cuaca. Jika berlaku hujan lebat dan pergerakan tanah yang serius kita akan hentikan operasi serta-merta dan tidak membenarkan mana-mana individu melalui laluan ini," katanya ketika meninjau lokasi kejadian.
Setakat ini tiada kenderaan dibenarkan melalui laluan tersebut dan ditutup kepada semua jenis kenderaan.
Dalam kejadian petang Selasa, sebahagian besar laluan yang memasuki ke Grand Ion Delemen dan Amber Court tidak dapat dilalui akibat berlaku tanah runtuh.
Ia merupakan kejadian pertama berlaku membabitkan tanah runtuh yang serius di kawasan peranginan tanah tinggi terkenal itu.