Pengimport bahan sisa plastik tercemar ke dalam negara adalah pengkhianat - Yeo

Bernama
Mei 28, 2019 18:27 MYT
Yeo menunjukkan sisa plastik yang akan dihantar semula kepada pengeksport di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, hari ini. --fotoBERNAMA
Pengimport bahan sisa plastik yang dilarang, adalah pengkhianat negara, tegas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.
Beliau berkata kesalahan tidak seharusnya diletakkan ke bahu pengeksport semata-mata kerana kedua-dua pihak sebenarnya bersalah.
"Setiap kontena (diimport) perlu ada penerimanya di sini yang memainkan peranan, jika tidak ia tidak akan dapat dieksport ke sini, dan ini sebabnya saya katakan mereka ini adalah pengkhianat negara,” katanya dalam persidangan media selepas memeriksa satu kontena yang mengandungi sisa plastik tercemar, di Pelabuhan Westport di sini hari ini.
Bagaimanapun Yeo berkata beliau tidak boleh mendedahkan berapa banyak syarikat tempatan yang terbabit dalam perbuatan ini kerana ia masih dalam siasatan, namun beliau memberi jaminan bahawa mereka yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan.
Yeo berkata sehingga kini 123 kontena telah diperiksa oleh pasukan petugas khas sejak pasukan itu ditubuhkan kira-kira sebulan yang lepas, dengan 60 daripadanya mengandungi 3,000 metrik tan plastik yang dijangka akan dihantar kembali ke negara asal selepas pemeriksaan rapi.
Beliau berkata daripada 60 kontena itu pula, 10 kontena akan dihantar kembali ke negara asal dengan segera, yakni dalam tempoh 14 hari, dan menurutnya sebelum ini lima kontena sudah dihantar kembali ke Sepanyol.
Selain Sepanyol, lain-lain negara termasuk Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Arab Saudi, Jepun, China dan Bangladesh, tambahnya.
Yeo berkata kos penghantaran balik kopntena itu akan ditanggung oleh sama ada pengimport atau pengeksport, bergantung kepada peruntukan undang-undang yang akan digunakan.
"Cara paling pantas adalah dengan menggunakan undang-undang tempatan, seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menjadikan mandatori bagi mereka menghantar balik barang itu, dan jika engkar mereka boleh diambil tindakan undang-undang."
Ditanya sekiranya kegiatan mengimport sisa plastik itu didalangi oleh satu sindiket, Yeo berkata “Saya hanya boleh berikan satu contoh, satu syarikat di United Kingdom boleh eksport lebih 1,000 kontena untuk kitar semula, ia melibatkan 50,000 metrik tan, yang diimport oleh sebuah syarikat di Malaysia”.
"Jadi bolehkah ia dianggap sebagai satu sindiket? Terpulang kepada anda,” katanya dan menambah siasatan masih dijalankan.
Yeo berkata pasukan petugas itu akan terus menjalankan pemeriksaan di lain-lain pelabuhan dalam negara menggunakan Prosedur Operasi Standard yang telah digunakan dalam Fasa pertama di Pelabuhan Klang, dan berikrar akan memastikan Malaysia tidak dijadikan sebagai ‘tapak pembuangan sisa’ dunia.
"Malaysia sama seperti negara-negara yang sedang membangun yang lain mempunyai hak untuk mendapatkan udara yang besih, air sumber yang mampan dan alam sekitar yang bersih untuk dinikmati, sama seperti rakyat lain-lain negara maju.
"Itu sebabnya kita perlu menggesa negara-negara maju untuk merombak semula pengurusan sisa plastik dan hentikan tindakan menghantar sampah negara. Jika dihantar ke Malaysia, ia akan dihantar kembali ke negara asal.
-- BERNAMA
#eksport #hantar pulang #import #kitar semula #kontena #negara asal #operasi #pengkhianat #pengurusan sisa #petugas khas #sampah #siasatan #sindiket #sisa plastik #syarikat tempatan #tapak pembuangan #undang-undang #Yeo Bee Yin
;