Pengilang sawit henti operasi, MPOB keluar surat peringatan

Bernama
Jun 30, 2022 19:45 MYT
Wee berkata pengilang yang terlibat juga bakal berdepan dengan penggantungan lesen sekiranya terbukti melakukan perbuatan itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini telah mengeluarkan surat peringatan kepada pengilang-pengilang sawit susulan tindakan menghentikan operasi berikutan kejatuhan mendadak harga minyak makan.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Wee Jeck Seng berkata surat itu memberi peringatan kepada pengilang agar menjalankan aktiviti sektor pengilangan buah kelapa sawit dan pematuhan kepada keperluan perundangan di bawah Akta Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
Katanya pengilang yang terlibat juga bakal berdepan dengan penggantungan lesen sekiranya terbukti melakukan perbuatan itu.
"Saya ingin memberi peringatan tegas berkaitan tindakan yang telah diambil oleh pengilang berkenaan sehinggakan menjadikan maksud asal lesen itu dikeluarkan tidak lagi wujud.
"Saya memandang serius akan perkara ini dan meminta supaya aktiviti memproses buah tandan segar (BTS) dan mengilang tidak akan terhenti, sebagaimana yang dinyatakan di dalam lesen yang dikeluarkan bagi mengelak sebarang tindakan undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau berkata tindakan segelintir pengilang yang memberhentikan operasi sekali gus tidak membeli BTS secara tidak langsung mengganggu stok sedia ada dan memberi kesan negatif kepada pekebun kecil.
-- BERNAMA
#MPOB #Lembaga Minyak Sawit Malaysia #surat peringatan #pengilang sawit #henti operasi #Wee Jeck Seng
;