Pengikut GISB masih dalam negara, tidak mampu lari ke negara jiran - KPN

Bernama
September 25, 2024 10:40 MYT
Razarudin berkata agak mustahil juga untuk mereka melarikan diri ke Thailand kerana pengikut GISBH tiada tempat hendak dituju di negara berkenaan. - Foto fail/Astro AWANI/Shahir Omar
KOTA BHARU: Pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dipercayai masih berada dalam negara kerana sukar untuk mereka melarikan diri sehingga ke negara jiran seperti Thailand, kerana mereka terlalu bergantung kepada kepimpinan tertinggi organisasi itu terutama dalam hal kewangan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata pengikut GISBH tiada kemampuan untuk melarikan diri ke sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Kelantan, kerana segala dana, elaun dan kewangan mereka mengharapkan pemimpin GIBSH yang telah ditangkap dan dibekukan akaun mereka baru-baru ini.
"Kepimpinan tertinggi GISBH telah ditangkap, jadi yang ada di bawah (pengikut GISBH) tidak ada kemampuan untuk lari (ke sempadan negara). Pengikut GISBH masih ada di sini (dalam negara) dan mereka menyorok kerana tiada duit, gaji dan sebagainya untuk melarikan diri," katanya kepada Bernama.
Razarudin berkata agak mustahil juga untuk mereka melarikan diri ke Thailand kerana pengikut GISBH tiada tempat hendak dituju di negara berkenaan.
"Jika mereka melarikan diri sekalipun ke Thailand ke mana mereka hendak pergi ? Yang lima kepimpinan tinggi GISBH telah polis tahan awal, jadi saya tidak nampak mereka ke sana (Thailand).
Beliau berkata buat masa ini hasil risikan dan siasatan polis tidak menampakkan pengikut GISBH melarikan diri ke sempadan negara.
"Buat masa ini tiada maklumat mengatakan pengikut-pengikut GISBH melarikan diri ke sana (sempadan negara)," katanya.
Mengenai dakwaan terdapat premis seperti kedai dobi, motel, farmasi dan restoran yang dikaitkan dengan GISBH di beberapa negeri menukar papan tanda di premis mereka selepas polis melakukan serbuan, Razarudin berkata perkara itu memang berlaku.
"Ya, memang ada banyak tempat dan premis GISBH telah menukar papan tanda. Kita ada kenal pasti dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara ini," katanya sambil menambah polis menyiasat kes ini melibatkan pelbagai aspek.
Sementara itu, jurucakap Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) ketika dihubungi Bernama berkata MAIK akan terus mempergiatkan operasi menyerbu premis GISBH termasuk yang mempunyai kaitan dengan pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad di negeri ini.
"Kami membantu pihak polis dan JHEIK (Jabatan Hal Ehwal Islam Kelantan) dengan mencari bahan-bahan tulisan yang menjurus kepada Abuya Ustaz Ashaari," katanya.
Tinjauan Bernama pagi ini di premis seperti kedai dobi, motel, farmasi dan restoran yang dikaitkan dengan GISBH di Kota Bharu, Tumpat dan Gua Musang mendapati, premis berkenaan ditutup dan tidak lagi beroperasi, selain terdapat sebuah hotel di Kota Bharu yang dikaitkan dengan kumpulan itu telah menukar papan tanda GISBH kepada nama hotel lain di premis itu.
Sementara itu, tinjauan Bernama di rumah amal dan sekolah yang dikaitkan dengan GISBH di Gong Kulim, Pasir Puteh yang diserbu pihak polis semalam mendapati premis itu ditutup, dengan garisan kuning pihak berkuasa, selain ia telah kosong.
Sepuluh kandang kuda di lokasi berkenaan juga telah dikosongkan dipercayai dipindahkan ke lokasi lain.
Pada 11 Sept, polis melalui Op Global menyelamatkan 392 kanak-kanak dan remaja daripada 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.
Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang ada kaitan dengan GISBH.
-- BERNAMA
#GISB #Razarudin Husain #melarikan diri #terkini
;