Pengiktirafan UNESCO dalam pelbagai bidang membuktikan usaha Malaysia berada di landasan yang tepat dalam menyediakan pendidikan inklusif kepada rakyat, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata pendidikan inklusif dalam bidang sains, teknologi dan inovasi akan sentiasa menjadi agenda keutamaan negara dalam melahirkan masyarakat berdaya saing, progresif, saintifik dan berpandangan jauh.

Katanya, komitmen dan langkah proaktif yang telah diambil untuk menambah baik dan meningkatkan lagi usaha negara mencapai status negara maju menjelang 2020.

Berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari UNESCO Malaysia 2016, Mahdzir berkata konteks inklusif juga merangkumi peranan Politeknik Malaysia dalam mengurangkan isi rumah yang berada di bawah kelompok 40 peratus terbawah.

Mahdzir, yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, berkata Malaysia amat berbangga di atas pelantikan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Noorul Ainur Mohd Nur sebagai Presiden baharu bagi Suruhanjaya Sains UNESCO.

Katanya, pelantikan ini simbol pengiktirafan serta keyakinan komuniti sains dunia terhadap kepimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa.

UNESCO ialah singkatan bagi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Menurutnya, Hari UNESCO Malaysia tahun ini merupakan sambutan signifikan bagi negara meraikan kejayaan Malaysia di Persidangan Agung UNESCO kali ke-38 pada November tahun lalu.

Di samping itu, usaha Malaysia dalam pemeliharaan tapak-tapak warisan kebangsaan juga telah melonjakkan keupayaan negara melalui empat tapak warisan dunia UNESCO, iaitu Taman Negara Kinabalu, Taman Negara Gunung Mulu, Melaka dan George Town serta Tapak Arkeologi Lembah Lenggong.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.