Pengiktirafan UEC oleh kerajaan tidak lagi relevan - Oh Ei Sun
Astro Awani
April 4, 2023 22:29 MYT
April 4, 2023 22:29 MYT
KUALA LUMPUR : Pengiktirafan Kerajaaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak lagi relevan pada masa ini, ujar Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun.
Menurutnya, perkara itu tidak lagi menjadi kepentingan kepada komuniti Cina kerana pemegang sijil yang diguna pakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) itu tidak akan memilih universiti awam untuk menyambung pengajian masing-masing.
Malah, kata beliau lagi, universiti-universiti swasta juga tidak menghalang kemasukan pemegang sijil berkenaan atau mereka boleh mengikuti pengajian peringkat tinggi di luar negara.
"Realistiknya, tidak banyak pemegang UEC yang mahu bekerja dengan sektor kerajaan. Jika mereka tidak pergi ke sektor kerajaan, jadi pengiktirafan kerajaan untuk UEC tidak penting langsung.
"Saya sendiri pemegang UEC, saya tidak pernah terfikir untuk bekerja dengan sektor kerajaan. Jadi, pengiktiran kerajaan terhadap UEC juga tidak relevan bagi saya," katanya dalam satu kenyataan audio pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ei Sun berkata, 'kerja keras' DAP selama ini agar kerajaan mengiktraf UEC mungkin penting bagi sebahagian komuniti Cina sahaja.
Bagaimanapun, beliau berpandangan, kaum itu sudah bijak kerana pertimbangan politik pada ketika ini adalah progresif Kerajaan Perpaduan.
"Kerajaan Perpaduan dianggotai PKR, DAP yang mendapat sokongan sepenuhnya kaum Cina, begitu juga UMNO walaupun selama ini mereka enggan berbuat demikian.
"Mereka tidak akan menyokong pembangkang kerana adanya Pas yang berteraskan teokrasi yang mana Cina menentangnya.
"Kalau ada pilihan antara Pas dan DAP, walaupun DAP tak mampu mengangkat pengiktirafan UEC, mereka tetap memilih Kerajaan Perpaduan kerana sebelah lagi ada Pas," katanya.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sehingga kini tidak mengiktiraf UEC yang dilaksanakan di SMPC.
Pendirian itu berlandaskan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan dan peruntukan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] yang sentiasa menjadi pegangan KPM.