Pengiktirafan Tony Fernandes dari USABC setanding Barack Obama

Kohilah Sekaran
Februari 21, 2016 13:39 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandez diberikan Anugerah Tunggak Keempat atau dikenali sebagai The Fourth Pillar. - Gambar fail
Tan Sri Tony Fernandes membuktikan beliau merupakan seorang ketua yang berkaliber dalam mengendalikan sesebuah organisasi gergasi dengan berkaliber.
Baru-baru ini, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia itu diberikan Anugerah Tunggak Keempat atau dikenali sebagai ‘The Fourth Pillar’ oleh Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC) berikutan sumbangan luar biasa kepada pertumbuhan ASEAN serta perhubungan AS-ASEAN.
Menurut kenyataan AirAsia Ahad, Fernandes adalah penerima kedua anugerah berkenaan selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
Ia disampaikan oleh Pengerusi Majlis Perniagaan AS-ASEAN, Keith Williams ketika majlis makan malam Persidangan Komuniti Ekonomi ASEAN 2016 di San Francisco.
Memetik laporan media tempatan, Fernandes yang berucap di majlis itu berkata, sudah tiba masanya ASEAN mengambil langkah berani ke arah persamaan dan standardisasi.
"Pengawal selia ASEAN perlu segera diwujudkan bagi memastikan standard ASEAN yang seragam. Proses sekarang yang bergantung kepada konsensus yang memerlukan kelulusan daripada semua 10 negara perlu dikaji semula agar inisiatif penting dapat bergerak ke depan.
"Kita berharap semua 10 negara anggota akan bersatu kerana ia membolehkan penggunaan sumber yang lebih cekap, ekonomi bidangan yang lebih baik, pengurangan kos serta pertumbuhan lebih pantas untuk rantau itu," kata Fernandes memetik laporan Bernama.
Apa itu Anugerah Tunggak Keempat?
Anugerah Tunggak Keempat ini dianugerahkan kepada individu atau pertubuhan atas sumbangan luar biasa mereka kepada pertumbuhan ASEAN serta yang memupuk hubungan AS-ASEAN yang lebih baik.
#AirAsia #anugerah #ASEAN #Tony Fernandes
;