Pengiktirafan profesional untuk graduan TVET akan beri nilai tambah
Bernama
Mac 2, 2023 20:13 MYT
Mac 2, 2023 20:13 MYT
PUTRAJAYA: Pengiktirafan profesional kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah nilai tambah yang akan menyumbang kepada penerimaan majikan serta industri.
Presiden Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata pengiktirafan profesional kepada graduan TVET akan membuka lebih banyak peluang kepada majikan di sektor awam dan swasta untuk menawarkan pakej pekerjaan yang menyokong hasrat kerajaan bagi memperkasa golongan itu.
Beliau berkata MBOT, badan profesional yang mengiktiraf ahli teknologi dan juruteknik sebagai profesional, menyambut baik komitmen kerajaan untuk terus memperkasa TVET melalui inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini, yang mendedahkan walaupun kadar kebolehpasaran graduan TVET ialah 90 peratus namun 90 peratus daripada mereka meraih gaji kurang RM2,000 sebulan.
Katanya penglibatan bakat TVET perlu dipertingkat dalam rantaian nilai industri yang lebih tinggi jika Malaysia berhasrat menjadi sebuah negara maju dalam masa terdekat.
"Inisiatif ini juga harus diperluas dalam bidang teknologi mendalam seperti bahan termaju, kepintaran buatan dan data raya,'' menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Siti Hamisah berkata pengumuman kerajaan mengenai kerjasama dengan sektor swasta terutama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan institusi TVET persekutuan juga mampu membantu graduan TVET memenuhi keperluan industri dan seterusnya akan dibayar secara setimpal.
Terdapat lebih 67,000 ahli yang berdaftar dengan MBOT termasuk lebih 20,000 profesional ahli teknologi dan juruteknik bertauliah.
MBOT juga mengiktiraf lebih 800 program berkaitan teknologi dan teknikal di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menghasilkan ahli teknologi serta juruteknik.
-- BERNAMA