Penghuraian usul pindaan RUU 355 satu kejayaan besar - Idris Ahmad
Israr Khalid
April 6, 2017 15:07 MYT
April 6, 2017 15:07 MYT
Penghuraian usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 yang dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini dianggap satu kejayaan besar.
Kata Naib Presidennya Idris Ahmad, ia juga satu mukadimah untuk memperjelas kepada semua pihak terutamanya Ahli-Ahli Parlimen tentang hasrat Pas untuk memperkasa undang-undang Syariah di negara ini.
"Pentingnya di kalangan masyarakat awam sendiri yang tahu dan nak tahu tentang perkara ini.
"Begitu juga terutamanya untuk orang bukan Islam yang kita tengok cukup dahsyat, yang digembar-gemburkan selama ini membuat tohmahan yang tidak tepat dan tidak betul kerana dimanipulasi orang tak bertanggungjawab," katanya di Parlimen hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang pada masa sama berkata, penerimaan untuk kelulusannya terserah kepada penilaian Ahli Parlimen terhadap apa yang dibentangkan Abdul Hadi.
"Kita tak boleh paksa orang. Kemasukan usul pindaan RUU ini mengikut semua prosedur," jelasnya.