Penghuni warga asing lari dari kawasan PKPD Flat Desa Bistari, Paya Terubong
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 6, 2020 17:21 MYT
Disember 6, 2020 17:21 MYT
GEORGE TOWN: Sebahagian penduduk terutama warga asing di Flat Desa Bistari di Batu Uban dan Flat Paya Terubong di Relau, dekat sini, melarikan diri selepas kawasan itu diumumkan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan ramai penduduk terutama di blok A dan B Flat Desa Bistari telah meninggalkan kediaman mereka, namun jumlahnya belum dapat dipastikan.
Justeru, beliau menasihatkan mereka yang berbuat demikian agar kembali ke kediaman masing-masing atau berdepan tindakan undang-undang.
"Kita menerima maklumat, semalam sebaik diumumkan Flat Paya Terubong dan Flat Desa Bistari ni akan dikenakan PKPD, ramai penghuni khususnya di Desa Bestari meninggalkan kediaman masing-masing.
"Saya ingin menasihatkan mereka yang berada di kawasan itu supaya terus kekal di kediaman mereka... ini bagi menjamin bukan sahaja kesihatan mereka sendiri tetapi juga kesihatan orang lain.
"Jika mereka meninggalkan premis mereka, mereka pergi ke tempat lain... mungkin akan menyebarkan virus COVID-19 ini," katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, Flat Desa Bistari Blok A dan B itu kebanyakannya dihuni oleh warga asing yang bekerja di pelbagai sektor di negeri ini.
Soffian berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan penduduk setempat bagi mendapatkan maklumat mengenai identiti mereka yang melarikan diri.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD akan dilaksanakan di Flat Paya Terubong, Relau dan Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban bermula 7 hingga 20 Disember ini.
PKPD di kawasan itu melibatkan lebih 12,000 penduduk.
#PKPD
#Flat Desa Bistari
#Flat Paya Terubong
#Ismail Sabri
#warga asing
#Penduduk
#melarikan diri
#polis
#Timur Laut
#Soffian Santong